KLANG: Hilang kawalan dipercayai menjadi punca sebuah kereta melanggar sebuah lori polis dalam kejadian kemalangan di Jalan Bukit Cerakah, Kapar, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang warga tempatan dari arah Puncak Alam hilang kawalan selepas memotong sebuah kenderaan di hadapannya.
“(Dipercayai kereta itu) telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar lori.
“Akibat pelanggaran itu, kereta tersebut terbakar hampir 90 peratus manakala lori mengalami kerosakan di bahagian hadapan,” katanya hari ini.
Utusan Online hari ini melaporkan kemalangan tersebut telah mengakibatkan empat individu, termasuk tiga anggota polis cedera.
Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini bagi mendapatkan rawatan.
Sementara itu Vijaya Rao berkata, dua anggota polis yang menaiki lori tersebut juga telah mengeluarkan pemandu kereta terlibat.
“Pemandu kereta mengalami kecederaan di kepala dan disyaki patah kaki kiri manakala kesemua anggota polis mengalami kecederaan ringan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN