TELUK INTAN: Kementerian Kewangan menetapkan sasaran cukai langsung sebanyak RM200.8 billion tahun ini sekali gus menyumbang hampir 50 peratus jumlah hasil kerajaan Persekutuan.
Timbalan menterinya, Lim Hui Ying, berkata ia menunjukkan dana dari sumber cukai langsung itu merupakan nadi kepada kelangsungan pembangunan dan kesejahteraan negara.
Beliau yakin seluruh kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan terus amanah dan cemerlang dalam melaksanakan bidang tugas masing-masing sehingga membolehkan sasaran kutipan yang ditetapkan itu dicapai.
“Semoga setiap usaha untuk membina sistem percukaian negara yang cekap dan efisien dapat direalisasikan untuk manfaat dan kebaikan semua,” katanya berucap pada majlis perasmian Menara Hasil Teluk Intan di sini, hari ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian bangunan setinggi tiga tingkat bernilai RM26.3 juta itu.
Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin.
Hui Ying berkata, sehingga 13 Februari lalu, lebih daripada 11,600 pembayar cukai Fasa Dua telah menggunakan sistem e-invois.
Sementara, dalam Fasa Tiga turut mencatatkan penyertaan awal secara sukarela daripada 7,700 pembayar cukai.
Katanya, aliran positif menunjukkan secara keseluruhan seramai 24,700 pembayar cukai telah menggunakan sistem e-invois dengan melibatkan pengeluaran sekitar 173 juta e-invois.
Beliau berkata, kerajaan yakin sistem itu dilihat berkesan untuk mengurangkan ketirisan cukai ke tahap optimum untuk kebaikan dan kemakmuran negara.
Katanya, Kementerian Kewangan di bawah Kerajaan MADANI sentiasa mendepani usaha-usaha memakmurkan ekonomi dan mensejahterakan negara khususnya melalui pelaksanaan dasar fiskal dan tadbir urus sistem percukaian yang cekap dan mampan.
Menurutnya, ekonomi bayangan atau ‘Shadow Economy’ telah lama dikenal pasti sebagai antara penyumbang kepada ketirisan cukai yang kritikal setiap tahun.
Katanya, dianggarkan saiz ekonomi bayangan di Malaysia adalah sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNKK) negara.
“Antara usaha untuk mengatasi virus ekonomi bayangan ini yang telah merebak ke seluruh negara di dalam pelbagai industri, ialah dengan memperkenalkan e-invois secara berperingkat bermula 1 Ogos lalu,” katanya. – UTUSAN