BENTONG: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya satu kajian dijalankan untuk meluruskan laluan Sungai Bentong yang terletak berhampiran kawasan rumah penduduk di Kampung Karak Setia, di sini.
Titah baginda, kedudukan sungai yang berselekoh menyebabkan air sungai melimpah keluar setiap kali hujan lebat sekali gus mengakibatkan banjir.
“Saya perhati kampung ini terletak di selekoh Sungai Bentong, mungkin kena buat satu projek untuk luruskan sungai supaya tidak berbentuk ‘L’.
“Sebab apabila ada bentuk ‘L’ itulah yang menyebabkan air bertakung. Jadi, perlu kaji untuk jangka masa panjang,” titah baginda ketika berkenan mencemar duli menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Karak Setia, di sini, semalam.
Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Baginda turut mengingatkan mangsa yang terjejas untuk bersabar dengan kejadian yang berlaku selain menganggap ia sebagai satu rahmat bagi mengenal pasti kekurangan yang ada di kawasan tersebut.
Titah baginda, antaranya adalah sungai yang cetek dan perlu diperdalam bagi mengelak air sungai dari melimpah ke tebing.
“Tadi kita dengar taklimat pegawai daerah untuk tinggikan ban di Sungai Bentong dan akan ada projek tebatan banjir, difahamkan bernilai RM300 juta,” titah baginda.
Hujan lebat berterusan sejak Selasa lalu mengakibatkan banjir melanda kawasan Kampung Karak Setia yang menjejaskan 49 buah keluarga melibatkan 150 orang mangsa.
-habis










