KEWUJUDAN kafe kopi di Perlis kebelakangan ini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Pelbagai idea kreatif diketengahkan bagi menarik pelanggan. Di Perlis terdapat ratusan kafe kopi dengan pelbagai konsep unik.
Namun sebuah kafe iaitu LWKY di Taman Desa Ulu Pauh, Arau, Perlis antara yang paling menarik perhatian apabila mengetengahkan konsep industri yang menggabungkan nilai estetika industri bersama gaya moden dalam membangkitkan suasana selesa termasuk susun atur di dalam kedai yang cukup kreatif.

Penghasilan konsep berkenaan juga banyak bergantung kepada penggunaan bahan-bahan industri, pencahayaan menarik dan penyatuan elemen moden serta ‘vintage’.
Kafe itu diusahakan Siti Sarah Jasmi, 39, yang dibantu suaminya, Nur Amzar Mhd Noor,39 juga seorang arkitek.
Selain pelbagai jenis kopi dan minuman coklat, kafe LWKY tersebut menyajikan lebih 40 sajian makanan merangkumi pelbagai variasi pasta, kunafa, kek, pastri dan banyak lagi makanan lain dari vendor-vendor.
Siti Sarah berkata, dia bersama suaminya, mengambil inspirasi konsep berkenaan daripada kafe-kafe di Jepun yang menampilkan elemen industri seperti batu-bata, paip besi dan kayu lama bagi menaikkan suasana elegan dengan pencahayaan menarik.
Katanya, idea konsep tersebut hasil perbincangan dia dan suami memandangkan mereka mempunyai pengalaman dalam bidang seni bina.
“Maka daripada situ kami melihat konsep ini amat menarik untuk diketengahkan kerana ia unik dan menampilkan elemen tersendiri. Kita menawarkan lebih 40 makanan vendor buat pelanggan dengan harga berpatutan bermula serendah RM3 sehingga RM25.
“Antara sajian yang terdapat di kafe ini adalah seperti pelbagai variasi pasta, kunafa, kek, pastri dan pelbagai lagi. Kalau diikutkan semua makanan di sini laris kerana setiap daripadanya mempunyai peminat tersendiri.

“Malah, kami turut menjaga kualiti makanan di mana hanya vendor terbaik akan dipilih menerusi proses saringan yang dilakukan bagi memastikan pelanggan mendapat kepuasan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di kafe berkenaan baru-baru ini.
Tambah ibu kepada empat orang anak itu, dia memilih membuka kafe itu kerana ingin mengambil pengalaman dalam bidang perniagaan selepas berhenti sebagai arkitek dan menjadi suri rumah sepenuh masa.
Katanya, dia menjual pelbagai makanan vendor berikutan daripada permintaan terhadap sajian tersebut dan mengikut trend semasa.
“Kami akan pastikan makanan-makanan yang disediakan di sini adalah mengikut permintaan semasa dengan jaminan kualiti yang terbaik buat pelanggan,” katanya.
Kata Siti Sarah, kebanyakan pelanggan terdiri daripada pelajar dan kakitangan di institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar kawasan tersebut.
“Kebiasaannya kafe kami penuh pada cuti hujung minggu dengan kehadiran pelajar IPT di sekitar kawasan ini. Malah, ada juga di antara mereka meluangkan masa di kafe untuk mengadakan perbincangan dan bersembang santai,” katanya.
Tambahnya, sambutan yang diterima amat memberangsangkan malah ramai pelanggan memberikan maklum balas positif khususnya terhadap makanan-makanan yang ditawarkan.
“Aspek kualiti makanan sememangnya amat kami titik beratkan dan disebabkan itulah kami hanya mengambil vendor-vendor yang terbaik sahaja khususnya dari negeri ini,” katanya.
Kafe LWKY beroperasi pada setiap hari kecuali Ahad bermula dari pukul 11 pagi sehingga 11 malam. – UTUSAN










