JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mahu meningkatkan penghasilan tenaga boleh diperbaharui, termasuk memperkenalkan polisi baharu yang menyasarkan penghasilan sebanyak 600 megawatt (MW) menjelang 2030.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, perkara itu merupakan satu daripada tiga polisi baharu yang akan dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan.
Dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Pembangunan Hijau Negeri Johor yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Onn hafiz Ghazi baru-baru ini, kerajaan negeri turut menggalakkan para pelabur menggunakan teknologi baharu.
“Menurut kajian, jumlah tenaga boleh diperbaharui di negeri ini adalah sebanyak 99MW ketika ini. Oleh itu, dalam beberapa tahun ini kita akan menggalakkan lebih banyak pelaburan dari dalam dan luar negara menggunakan teknologi hijau.
“Kita juga akan menggalakkan industri sedia ada seperti hotel dan kilang mahupun rumah untuk memasang panel solar untuk menghasilkan tenaga boleh diperbaharui bagi mencapai sasaran 600MW menjelang 2030,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina bersama anak-anak yatim anjuran Hotel Grand Paragon, di sini semalam.
Tian Soon berkata, kerajaan negeri turut menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi penghasilan tenaga boleh diperbaharui sama ada berskala kecil atau besar, pemasangan di bangunan atau boleh bergerak bagi memudahkan kelulusan diberikan.
Katanya, kerajaan negeri menekankan polisi pengangkutan hijau dengan menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dengan menyasarkan peningkatan penggunaan sebanyak 15,840 unit menjelang 2030.
“Sebelum penggunaan EV mencecah 15,840 unit di negeri ini, kita perlu melengkapkan jaringan taburan rangkaian stesen pengecas yang mencukupi, iaitu sebanyak 1,245 stesen di seluruh negeri dan pada ketika ini hanya ada 377 stesen pengecas kenderaan EV,” katanya.