KUALA LUMPUR: Isu pemilikan tanah menjadi cabaran utama dan menyebabkan berlaku kelewatan dalam pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Selangor.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan 11 projek RTB di Selangor dengan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM3 bilion.
Menurut beliau, status semasa projek adalah tiga projek dalam proses reka bentuk dan lapan dalam peringkat pelaksanaan, ia dijangka siap antara 2026 hingga 2031 berdasarkan kemajuan terkini projek yang berjalan mengikut jadual.
“Bagaimanapun, isu pemilikan tanah masih menjadi salah satu cabaran utama yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek.
“Oleh itu, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan amat diperlukan bagi menyelesaikan isu ini serta mempercepatkan pelaksanaan projek yang dirancang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang memintanya menyatakan status terkini pelaksanaan RBT di negeri Selangor dan apakah faktor yang menyebabkan kelewatan pelaksanaan.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Ke-15 2025 hari ini menitahkan agar pelaksanaan RTB yang telah dirancang sebelum ini dipercepatkan.
Menurut baginda, projek yang dianggarkan berjumlah RM1.774 bilion itu perlu dibuat segera bagi mengelak insiden banjir besar yang berlaku tiga tahun lalu tidak berulang lagi di Selangor. – UTUSAN