Ibu rayu anak segera pulang selepas keluar dari rumah

Ibu rayu anak segera pulang selepas keluar dari rumah

NUR Fakhira Dania Zahir yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar dengan menaiki sebuah kereta Perodua MyVi berwarna hitam pada 12 Februari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: “Pulang lah nak, esok sudah mula bersekolah, jangan ikutkan rasa hati”.

Demikian rayu Norita Kasmin, 47, kepada anaknya Nur Fakhira Dania Zahir, 14, yang tidak pulang ke rumah selepas keluar kira-kira pukul 10 malam, Selasa lalu.

Katanya, hasil daripada pemerhatian melalui rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) mendapati anak kelima daripada enam adik-beradik itu seperti telah mengatur rancangan untuk keluar pada malam tersebut.

“Saya tidak tahu masa bila mereka membuat rancangan pertemuan itu kerana dia tidak mempunyai telefon bimbit dan hanya menggunakan telefon bimbit saya untuk membuat sebarang urusan.

“Malah sebelum kejadian tiada sebarang selisih faham atau pergaduhan bersama abang-abangnya dan dia keluar tanpa memaklumkan sesiapa pun yang ada di rumah malam itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Belimbing hari ini.

Hari ini media melaporkan, seorang remaja perempuan tidak pulang ke rumah selepas dilihat menaiki sebuah kereta Perodua MyVi pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, remaja terbabit, Nurfakhira Dania Zahir, 14, mempunyai bentuk fizikal dengan ketinggian 154 sentimeter dan berkulit coklat.

Katanya, kali terakhir remaja terbabit dilihat bertudung dan memakai baju T lengan panjang berwarna hitam dan seluar jeans biru.

“Remaja itu dikatakan dilarikan seseorang dengan menaiki kereta jenis MyVi berwarna hitam pada 12 Februari sekitar pukul 10 malam,” katanya.

Sementara itu, menurut Norita, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengesan anaknya itu
termasuk berhubung dengan rakan-rakan terdekat serta sanak saudara namun gagal ditemui.

“Semua kelengkapan untuk memulakan persekolahan esok juga sudah dilakukan dan tiada sebab yang boleh dijadikan punca untuk dia keluar rumah hingga tidak pulang seperti ini,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN