SEMENYIH: Keputusan ibu bapa untuk menghantar anak ke kelas tuisyen untuk mengikuti pembelajaran tambahan adalah pilihan peribadi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kurikulum yang disediakan di sekolah adalah mencukupi mengikut piawaian kebangsaan dan mampu memenuhi keperluan akademik pelajar.
Katanya, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya ibu-bapa ingin memberi sokongan tambahan kepada anak-anak.
“Mengenai isu ibu bapa menghantar anak ke tuisyen, itu adalah pilihan peribadi. Kurikulum yang disediakan di sekolah adalah mencukupi mengikut piawaian kebangsaan.
“Sekiranya ibu bapa ingin memberi sokongan tambahan, itu terpulang kepada mereka,” katanya dalam sidang media Hari Pertama Pembukaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih, di sini hari ini.
Mengulas mengenai isu ketidakkehadiran pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Fadhlina berkata, terdapat peningkatan positif hasil daripada pelbagai intervensi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan.
“Terdapat penurunan ketara dalam ketidakhadiran pelajar SPM daripada 10,000 kepada 8,000 orang pada tahun lepas.
“Ini hasil daripada pelbagai intervensi seperti program Ziarah Cakna, pengesanan awal keciciran dan sokongan komuniti.
“Kami berharap kehadiran pada tahun ini akan terus meningkat dengan penguatkuasaan dasar pendidikan wajib,” katanya.
Sementara itu, berhubung sesi persekolahan pada bulan Ramadan, Fadhlina berkata, setakat ini tiada perubahan dalam jadual persekolahan seperti yang ditetapkan dalam garis panduan sedia ada.
“Pelajar akan meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
“Semua pihak dinasihatkan untuk merujuk dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan untuk bulan Ramadan,” katanya. – UTUSAN