GRS bincang agihan kerusi PRN Sabah Ahad ini - Utusan Malaysia

GRS bincang agihan kerusi PRN Sabah Ahad ini

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan berbincang mengenai agihan kerusi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) pada Ahad ini.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara agenda pada mesyuarat AMT GRS yang akan diadakan pada hujung minggu ini adalah mengenai agihan kerusi.

GRS terdiri daripada gabungan lapan parti iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Pada masa ini, GRS mempunyai 42 kerusi termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik dan secara keseluruhannya, blok kerajaan GRS-PH Plus mempunyai 50 daripada 73 kerusi DUN Sabah.

Hajiji berkata demikian apabila diminta mengulas cadangan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mahu GRS bertanding secara solo di kesemua 73 kerusi DUN.

Sebelum ini, Pandikar Amin yang juga Timbalan Pengerusi GRS mengulangi pendirian bahawa tiada keperluan untuk GRS membuat pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRN Sabah yang dijangka pada pertengahan tahun ini.

Pandikar Amin dan pemimpin komponen GRS termasuk Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee berkongsi pandangan yang sama iaitu mahu GRS bergerak secara sendirian pada PRN Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN