MEMILIKI rumah sendiri adalah impian bagi kebanyakan rakyat Malaysia, terutama golongan belia, namun realitinya tidak semudah yang diharapkan.
Dengan kos hartanah yang semakin meningkat, golongan muda dan mereka yang berpendapatan rendah, berdepan cabaran besar untuk memiliki kediaman idaman.
Bermula awal bulan Februari tahun ini, gaji minimum telah dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 tahun lepas.
Namun, persoalannya, adakah kenaikan gaji minimum oleh kerajaan ini dapat membantu mereka untuk memiliki rumah idaman?
Mengulas mengenai perkara itu, pakar hartanah, Ahyat Ishak berkata, apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700, ia merupakan berita baik bagi golongan pekerja dalam kategori ini.
Katanya, tambahan RM200 daripada gaji terdahulu memberikan sedikit ruang kewangan bagi mereka yang berada di antara kategori M40 bawah, B40 yang berpendapatan rendah untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Namun begitu, realitinya pekerja di lapisan ini masih memerlukan peningkatan gaji yang lebih tinggi untuk benar-benar membantu mereka mengatasi cabaran kewangan. Walaupun kenaikan ini mungkin tidak mencukupi, ia masih lebih baik daripada tiada langsung.
“Penting untuk kita memahami bahawa golongan pekerja yang menerima gaji minimum bukan hanya berdepan dengan isu pemilikan hartanah, tetapi lebih kepada cabaran untuk terus bertahan dalam kehidupan harian.
“Kesukaran utama mereka adalah memenuhi keperluan asas dan apabila perkara ini gagal dipenuhi, kehidupan menjadi sangat mencabar.
“Oleh itu, mereka memerlukan lebih banyak sokongan dalam bentuk kenaikan gaji serta akses kepada peluang ekonomi yang lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, cabaran utama bagi pembeli rumah pertama adalah menyediakan wang pendahuluan atau deposit sebanyak 10 peratus daripada harga rumah, iaitu sekitar RM25,000 bagi rumah bernilai RM250,000.
“Kos tambahan lain seperti yuran guaman dan duti setem juga boleh mencecah tiga peratus hingga lima peratus daripada harga rumah.
“Walaupun terdapat insentif seperti pengecualian duti setem, beban kewangan ini masih menjadi halangan utama bagi ramai individu berpendapatan rendah,” ujarnya.
Beliau berkata, antara cabaran lain bagi pekerja berpendapatan rendah bukan sekadar membeli rumah, tetapi bagaimana untuk memastikan kestabilan kewangan jangka panjang.
“Oleh itu, perancangan yang rapi, sokongan polisi yang tepat dan peningkatan peluang ekonomi adalah kunci utama untuk membantu golongan ini mencapai kehidupan yang lebih selesa.
“Rezeki itu datang dalam pelbagai bentuk. Begitu juga dengan keputusan untuk membeli rumah, terdapat pelbagai pilihan yang perlu dipertimbangkan, terutamanya dalam memilih rumah mampu milik,” katanya.
Ahyat berkata, menyewa adalah alternatif yang tidak boleh dipandang rendah kerana ia bukan satu kelemahan, sebaliknya boleh menjadi strategi sementara untuk mengukuhkan kestabilan kewangan sebelum membeli rumah.
“Menyewa membolehkan seseorang menyesuaikan diri dengan lokasi tempat kerja, mencari peluang pendapatan lebih baik dan mengumpul simpanan untuk masa depan.
“Perancangan kewangan yang berdisiplin juga amat penting kerana individu yang ingin memiliki rumah perlu bijak mengurus kewangan dengan menetapkan bajet yang jelas untuk perbelanjaan harian, simpanan, dan pelaburan,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, walaupun gaji asas telah dinaikkan, jumlah itu kemungkinan besar hanya mencukupi untuk menampung perbelanjaan keperluan utama sahaja.
“Seperti yang kita maklum, jumlah ini juga masih didalam lingkungan kategori pendapatan isi rumah B40 iaitu RM4,850 sebulan (2023), malah jumlah RM1,700 juga hanyalah sedikit tinggi dari aras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kebangsaan (2022) iaitu RM1,198 sebulan.
“Kita juga perlu melihat lebih mendalam dari aspek perbelanjaan kos sara hidup sama ada di luar bandar dan bandar besar yang pastinya amat berbeza,” katanya.-UTUSAN










