JOHOR BAHRU: Penganjuran Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) saban tahun bukan sahaja mampu menarik kehadiran ramai pengunjung serta memperkenalkan negeri ini, malah turut membuka pintu rezeki kepada golongan peniaga.
Antara yang tidak melepaskan peluang berkenaan ialah Noraini Abdul Jamil, 60, yang membuka gerai menjual lebih 100 jenis layang-layang.
Noraini berkata, sambutan yang diterima amat baik sejak hari pertama festival yang dianjurkan di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang dekat sini dan hasil jualan terus meningkat.
“Kami menjual pelbagai jenis layang-layang bersaiz kecil, sederhana dan besar sehingga tiga meter ukurannya. Harga pula antara RM10 hingga mencecah RM500.
“Kebanyakan layang-layang yang dijual bertemakan watak kartun, adiwira dan karikatur yang menjadi kegilaan kanak-kanak,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Noraini berkata, jumlah jualan yang memberangsangkan menunjukkan minat mendalam orang ramai terhadap permainan tradisional tersebut.
“Ini boleh dikatakan salah satu sumber pendapatan kami. Alhamdulillah, setiap kali berniaga, ia bagai durian runtuh bagi kami dan hasil jualan boleh cecah RM30,000,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Mohd. Azri Khalid, 40, yang menjual air balang turut mengakui tidak menang tangan melayan pelanggan, terutamanya pada waktu puncak.
“Strategi menjual air balang di sini memang tepat, tambahan pula cuaca ketika ini agak panas dan pengunjung cepat rasa dahaga dan tertarik membeli air. Saya jual pelbagai jenis air balang seperti air buah-buahan, perisa coklat, kopi dan air mineral,” katanya.
FLLSPG 2025 yang merupakan edisi ke-27 berlangsung selama lima hari hingga semalam disertai hampir 400 peserta dari 44 negara. – UTUSAN