MELAKA: Seorang eksekutif sebuah bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 15 pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah hampir RM9,000 daripada tiga firman guaman bagi urusan pinjaman perumahan antara 2017 dan 2021.
Tertuduh, Nurulhayat Mohamad Nor, 38, mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah meminta dan menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM8,920.79 daripada tiga firma guaman sebagai upah membantu mendapatkan rujukan kes melibatkan urusan pinjaman perumahan dengan pihak bank.
Kesalahan dilakukan di tiga lokasi berbeza iaitu di sebuah firma guaman, Malaysia Building Society Berhad (MBSB) Cawangan Melaka dan Maybank Cawangan Melaka Main yang terletak dalam daerah Melaka Tengah antara Julai 2017 dan Februari 2021.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan jaminan RM46,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sehingga kes selesai.
Peguam Muhammad Aizat Fakri memohon jaminan RM3,000 bagi setiap nombor kes dengan alasan anak guamnya akan dijamin suaminya yang bekerja sebagai peniaga dalam talian dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 11 April ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN