SEREMBAN : Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) menyasarkan lebih dua juta buku tulis kitar semula dapat diagihkan kepada semua pelajar daripada keluarga kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) di seluruh negara pada tahun hadapan
Menurut pengarahnya, Mohd. Khair Ngadiron ia menerusi pelaksanaan Program Penyerahan Bantuan 1 Juta Buku Tulis Kitar Semula yang dijalankan bersama Perbadanan Kota Buku sebagai projek tanggungjawab sosial korporat.
Beliau justeru mengalu-alukan lebih ramai penyertaan daripada pihak syarikat dan individu untuk turut menyumbang dalam program tersebut.
“Individu dan pihak syarikat yang sertai dalam program ini juga berpeluang mendapat pelepasan cukai sebanyak sehingga 10 peratus sebagai langkah penjimatan syarikat terbabit sebagai pembayar cukai,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan 1 Juta Buku Tulis Kitar Semula Kepada Murid B40 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Pagi di sini, semalam.
Program berkenaan merupakan kali pertama dianjurkan dengan membabitkan sebanyak 2,060 sekolah di lima negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya; Negeri Sembilan; Melaka serta Selangor.
“Bantuan buku tulis ini melibatkan satu juta buku tulis untuk kegunaan 100,000 murid B40 dengan pengagihan 10 buku tulis kepada 40 murid miskin dan miskin tegar di setiap sekolah.
” Atas usaha ini, setiap sekolah akan menerima satu kotak yang di dalamnya mengandungi 400 buah buku tulis berasaskan kertas kitar semula,” katanya.
Katanya lagi, memandangkan kuantiti buku digunakan di sekolah sangat tinggi maka dengan usaha pengumpulan buku tulis berasaskan kertas kitar semula ia dapat memenuhi keperluan di peringkat sekolah.
” Ditambah pula teknologi kitar semula yang kian maju, penggunaan semula kertas untuk dijadikan buku tulis pelajar ini juga sebagai usaha menyokong kempen berteraskan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG)
” Keduanya adalah kerana kosnya lebih murah sekali gus dapat juga menjimatkan kos ibu bapa dalam membeli buku tulis anak-anak mereka,” katanya. – UTUSAN










