REMBAU: Masalah tapak sampah haram yang dihadapi penduduk di Kampung Batu di sini, sejak tiga tahun lalu bakal diatasi menerusi kemudahan pusat kitar semula pandu lalu (DTRC) yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.
Pegawai Daerah Rembau, Mohd. Zamri Mohd. Esa berkata, kemudahan menerusi Program Sejati Madani itu bakal diuruskan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung tersebut.
“Kemudahan DTRC ini juga akan dilaksanakan di empat buah kampung lain di daerah ini bagi memupuk kesedaran orang ramai untuk mengitar semula sampah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Mohd. Zamri, penduduk di kampung berkenaan mahupun masyarakat sekitarnya diharap bersikap lebih bertanggungjawab agar tidak membuang sampah sesuka hati di lokasi tersebut.
“Sebelum ini kemudahan tong roro disediakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat konsesi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, namun telah diambil kesempatan oleh individu tidak bertanggungjawab dengan membuang segala macam jenis sampah.
“Berat sampah yang dibuang juga boleh mencecah 100 kilogram (kg) sehari, sampah perniagaan juga dibuang, ini boleh mencemarkan kawasan sekitar apatah lagi terdapat kawasan tali air tidak jauh dari tapak sampah haram berkenaan.
“Saya harap peniaga tidak hanya mengambil jalan mudah melupuskan sampah masing-masing, sedangkan mereka menikmati keuntungan jualan. Masalah sampah haram di kawasan kampung boleh diselesaikan sekiranya mendapat kerjasama daripada semua pihak,” katanya. – UTUSAN









