Daki bukit demi talian internet

Daki bukit demi talian internet

PENDUDUK terpaksa bermalam di kawasan berbukit untuk mendapatkan talian telekomunikasi di Kampung Bantal, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penduduk di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini terpaksa mendaki bukit tinggi pada waktu malam sehingga awal pagi demi mendapatkan talian telekomunikasi, ekoran gangguan yang berlaku sejak lima hari lalu.

Masalah tersebut menyebabkan kira-kira 500 pengguna di kampung itu berdepan gangguan talian tidak menentu pada waktu siang dan hanya pulih pada awal pagi.

Penduduk, Muhammad Al-Arief Yusop, 34, berkata, dia perlu mencari lokasi tinggi dan berbukit untuk memperoleh internet dari menara kampung berdekatan.

“Pada waktu malam menjelang awal pagi, kami beramai-ramai mencari lokasi tinggi untuk mendapatkan talian untuk berbual dengan saudara-mara di tempat lain serta mengakses maklumat, tetapi masih ada gangguan.

“Saya difahamkan aduan sudah dibuat kepada pihak berwajib oleh penduduk di sini, tetapi gangguan yang sama kerap berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Syakir Radzuan, 30, berkata, dia bersama rakannya memanjat kawasan berbukit yang agak jauh dari rumahnya untuk mendapatkan talian telekomunikasi dan internet.

“Kami bergerak hampir dua kilometer ke kawasan berbukit di pinggir hutan pada sebelah malam untuk mendapatkan talian telekomunikasi dan berhubung dengan orang luar dalam keadaan yang tidak selesa sehingga awal pagi.

“Pada sebelah siang sejak lima hari lalu kami langsung tidak memperoleh talian berkemungkinan masalah menara berdekatan kampung ini,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Bantal Seberang, Jamizan Rashid, 45, pula berkata, pihak berwajib perlu segera membaik pulih talian di situ kerana minggu persekolahan bermula pada 17 Februari ini.

“Kemudahan yang sama juga diperlukan oleh klinik kesihatan kampung ini untuk berhubung ketika kes kecemasan penduduk, selain sebagai rujukan rawatan di luar termasuk perhubungan pengusaha inap desa dengan pelancong luar,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya