AHLI Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung baru-baru ini mengadakan sidang media membawa lebih 40 pemilik rumah sewa dan premis perniagaan yang terpaksa menanggung caj elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) RM8.5 juta, akibat pendawaian dan perlombongan haram bitcoin oleh ‘penyewa hantu’.
Mangsa terlibat memberitahu maklumat peribadi dicuri penyewa dengan menggunakan dokumen palsu dan digunakan untuk menjalankan sindiket itu, sehinggalah TNB menghantar notis tuntutan melunaskan keseluruhan tunggakan atau berdepan padahnya.
Saya sendiri menyaksikan betapa sugul dan tertekannya mangsa terlibat ketika bercerita situasi yang dihadapi masing-masing.
Kronologinya berbeza, namun, kesemua mereka diminta hanya melakukan satu perkara, tanpa ada pilihan lain – bayar hutang.
Justeru, ada yang berdepan tekanan mental kerana tidak tertanggung segala bebanan, sedangkan pendapatan mereka bukanlah banyak sangat.
Lebih malang lagi mereka terpaksa menanggung kos luar jangka sehingga berisiko bankrap.
Justeru Chean Chung mengharapkan, dalam pada TNB menjana keuntungan, syarikat itu juga pada masa sama harus mengimbangi dan menjaga kepentingan rakyat.
Pengarah Komunikasi PKR itu berkata, ia merupakan kes penganiayaan terhadap mangsa ketika mereka tidak tahu terdapat aktiviti haram berlaku dalam premis.
Katanya, pusat khidmat parlimennya menerima aduan mangsa di seluruh negara dengan jumlah pampasan dituntut antara RM20,000 hingga RM1.15 juta.
“Bayangkan apa mereka lalui. Tanpa pengetahun rumah mereka dijadikan tempat pendawaian haram, satu lagi curi identiti padahal kedua-duanya tidak dilakukan mangsa yang juga pelanggan TNB.
“Sebagai satu-satunya pembekal tenaga elektrik di Malaysia, sistem TNB jelas lemah. Malah Lebih membimbangkan, mereka menuntut bayaran daripada mangsa tanpa melakukan siasatan terperinci.

“TNB tidak boleh hanya mementingkan keuntungan sendiri tanpa menjaga hak pengguna.
“Tidak adil bagi mangsa jika mereka hanya diberi pilihan pembayaran ansuran kerana tetap memberi tekanan besar,” katanya selepas sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Petaling Jaya di sini, baru-baru ini.
Bagaimanapun, TNB tidak berdiam diri, syarikat itu memaklumkan bersedia mencari jalan penyelesaian selain mengingatkan pemilik hartanah supaya mengemukakan permohonan Change of Tenancy (COT) kepada pihaknya setiap kali penyewa baharu menduduki premis
PINDA UNDANG-UNDANG
Dalam pada itu, Chean Chung pula akan memanjangkan isu itu dalam mesyuarat Dewan Rakyat bermula esok, yang menuntut kepada pindaan terhadap Akta Bekalan Elektrik 1990.
Jelasnya, ia bertujuan menjelaskan tanggungjawab bersama antara tuan rumah dan penyewa dalam penggunaan elektrik serta melindungi hak kedua-dua pihak.
Katanya, TNB dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mesti memperketat penguatkuasaan dan melaksanakan sistem ‘Kenali Pelanggan Anda’ (KYC) bagi mengelakkan identiti disalahguna dan menubuhkan pasukan khas menyiasat kelemahan sistem mereka bagi mengelakkan lebih ramai pengguna menjadi mangsa.
“Saya menggesa TNB agar tidak mengelak daripada tanggungjawab dalam kes ini dan tidak boleh berdalih dengan alasan seperti ‘tidak mampu berbuat apa-apa’ atau ‘tidak berkaitan dengan mereka.
“TNB harus berunding dengan mangsa untuk membatalkan atau mengurangkan tuntutan pampasan terhadap mereka,” katanya. – UTUSAN










