MARAN: Lebih 500 keluarga susur nasab keturunan Tok Suji Bilang, Tok Nur Intan dan Tok Gemuk dari seluruh negara mencatat sejarah kerana dapat bertemu wajah buat pertama kali sempena program Bicara Sejarah Chenor di Masjid Hijau Chenor Kampung Pantai di sini, baru-baru ini.
Program ilmiah anjuran Madrasah Raudhah al-Muhibbin dan penduduk Kampung Seberang Chenor itu mengupas sejarah Chenor yang terkenal dengan tokoh pendekar, ulama, pujangga dan salasilah keluarga tiga tokoh itu yang menjadi pemimpin setempat zaman berzaman.
Pengerusinya, Barkatullah Mohd. Bahari berkata, perhimpunan berkenaan boleh dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) kerana susur galur dan nasab keluarga tersebut dapat dilihat di lembaran kertas yang diletakkan pada dinding Masjid Hijau Chenor Kampung Pantai.
“Dalam pengetahuan saya, tiada lagi program salasilah keluarga dicatat di lembaran kertas besar dan para waris boleh melihat hubungan keluarga daripada datuk, nenek moyang sehingga keturunan empat dan kelima,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Barkatullah berkata, turut diadakan perkongsian ilmiah bagi mengupas sejarah dan salasilah keluarga ketiga-tiga tokoh oleh Che Wan Ahmad Nizam Wan Ahmad Tajuddin, Ahmad Burhanuddin Hamidi Mukhtar, Mohd. Redho Abdul Rafar dan Datuk Mohamad Shahaimi Othman.
“Bicara Sejarah Chenor mendapat perhatian pelbagai pihak bukan sahaja waris keturunan dan pakar sejarah tetapi kemunculan pelbagai aliran silat yang menjadi pakaian orang Chenor.
“Mereka (pesilat) muncul membuat persembahan di pekarangan Masjid Hijau iaitu Silat Sengkelat Pendekar Endol, Silat Pulut Pendekar Teh, Silat Cekak Terlak Awang Serbaini, Silat Cekak Sekarung Kain Awang Ali, Pencak Tari Gayung Sembilan Cikalong Cempaka Putih dan Gayung Makrifat Inderapura,” katanya. – UTUSAN