PASIR SALAK: Beras dikisar sendiri oleh pesawah semakin menjadi pilihan pengguna yang sukar mendapat beras tempatan di pasaran, kerana ia dikatakan lebih berkualiti.
Seorang pesawah di Parit 8 A Sungai Manik di sini, Abdullah Harun, 56, berkata, dia mengisar padi yang ditanam untuk kegunaan sendiri selain ada juga yang dijual kepada komuniti setempat.
Menurutnya, berdasarkan maklum balas pembeli, nasi menjadi lebih sedap, wangi kerana beras yang dihasilkan daripada padi yang baru dituai.
“Biasanya padi yang hendak dikisar dijemur dahulu selama dua hari, selepas itu disimpan 10 hari sebelum dikisar menggunakan mesin sendiri. Sekali kisar, biasanya saya dapat kira-kira 200 kilogram. Jumlah ini mencukupi untuk kegunaan sendiri.
“Kadang kala ada juga yang datang menemui saya untuk membeli beras yang saya proses kerana lebih asli dan berkualiti. Ketika beras tempatan sukar dibeli di pasaran ketika ini, permintaan untuk beras yang dikisar semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, usaha mengisar padi sendiri sama seperti dilakukan oleh pesawah dahulu yang menumbuk padi untuk kegunaan sendiri.
Katanya, pada masa itu tiada masalah kekurangan beras kerana setiap pesawah memproses padi sendiri malah setiap rumah mempunyai lesung menumbuk padi untuk menghasilkan beras bagi kegunaan sendiri.
Jelasnya, perkara yang sama masih boleh dilakukan ketika ini dengan membeli mesin pengisar padi buatan Thailand tiga tahun lalu dengan harga RM1,500 seunit.
Sementara itu, seorang lagi pesawah di sini, Karim Mohd. Amim, 34, juga lebih gemar memasak beras yang dikisar sendiri sejak membeli mesin kisar padi setahun lalu.
Menurutnya, dia menjadi tumpuan pesawah lain yang memintanya mengisar padi untuk kegunaan sendiri.
“Memproses beras sendiri dapat mengatasi kekurangan beras tempatan di pasaran dan dapat juga kami berjimat kerana beras di pasaran lebih mahal.
“Beras daripada padi yang diproses sendiri lebih sedap dan wangi kerana padi baru dipotong dari sawah,” katanya.
Mohamad Sadan Mohd Som, 55, juga mengisar untuk padi sendiri sejak lima tahun lalu untuk kegunaan sendiri.
Katanya, baru-baru ini seorang pesawah dari Chuicak dekat sini mengupahnya untuk memproses padi sebanyak 200 kilogram untuk kegunaan semasa Tahun Baharu Cina.
“Mereka tahu saya ada mesin kisar, namun saya hadkan penggunaan mesin ini untuk mengisar beras bagi kegunaan sendiri. Cuma sesekali saya bantu komuniti di sini ketika beras tempatan tiada di pasaran,” katanya. – UTUSAN










