Bakat profesional tempatan ‘diburu’ syarikat global

Bakat profesional tempatan ‘diburu’ syarikat global

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kualiti pendidikan negara bertaraf tinggi dan sering mendapat pengiktirafan dalam peringkat antarabangsa, menyebabkan banyak syarikat global mahu mengupah per­khidmatan go­longan bakat profesional dari Malaysia.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang berkata, bakat profesional Malaysia dengan gaji kompetitif semakin diterima pada peringkat glo-bal, terutamanya dalam sektor petrokimia dan hospital di Asia Barat.

“Terdapat lebih 70,000 pemegang ijazah kedoktoran PhD di seluruh Malaysia ketika ini iaitu melebihi sasaran dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 iaitu hanya 60,000 orang.

“Ini petanda rakyat Malaysia suka belajar dan mudah diajar. Pertambahan bakat berpendidikan dan berkemahiran tinggi perlu disalurkan sebaiknya bukan sahaja untuk pembangunan negara, bahkan untuk negara yang memerlukan,” katanya da­lam wawancara bersama Utusan Malaysia.

Zaini memberitahu, penghijrahan bakat tempatan ke luar negara tidak menyebabkan Ma­laysia kekurangan go­longan profesional.

Malaysia mengalami kekura­ngan pekerja buruh dalam bidang pekerjaan 3D (susah, kotor dan bahaya) dalam semua sektor terutamanya pembinaan dan perladangan, tetapi tidak kekurangan bakat dalam bidang profesional dan semi-profesio­nal yang terlatih menerusi institusi pendidikan dan kemahiran tinggi.

“Dalam bidang kesihatan, misalnya, ekosistem pendidikan tinggi Malaysia sentiasa mengeluarkan bakat baharu dalam bidang perubatan, pergigian, farmasi dan lain-lain. Bahkan kadar pengeluaran tersebut melebihi permintaan tempatan. Semasa saya menjadi KSU Kementerian Kesihatan, lebih 5,000 orang doktor pelatih dalam senarai menunggu penempatan kerja kerana tiada kekosongan,” katanya.

Akhbar ini melaporkan Ma­laysia menyaksikan kadar peng­hijrahan bakat yang tinggi, mencecah 5.5 peratus atau meli­batkan hampir dua juta tenaga kerja pada tahun lalu dan trend itu dijangka berterusan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Malaysia disarankan mencontohi Filipina dan India dalam ‘mengeksport’ tenaga kerja mahir ke negara-negara maju, sekali gus memberi manfaat besar kepada ekonomi negara.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mohamed Ismail KP Hj Pakir Mohamed berkata, India misalnya, berjaya menghantar ramai ju­rutera teknologi maklumat dari Hyderabad untuk bekerja di Jerman, sementara Filipina pula dikenali sebagai pembekal utama jururawat ke Asia Barat.

“Bayangkan jika Malaysia dapat mengeksport tenaga kerja mahir ke luar negara secara sistematik. Ia bukan sahaja membantu individu meningkatkan taraf hidup mereka, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Namun, kita belum mempunyai rangka kerja jelas bagi mengeksport tenaga mahir ke luar negara secara tersusun,” katanya.

Menurutnya, industri minyak dan gas (O&G) serta perkapalan melahirkan ramai tenaga kerja teknikal yang kini bekerja di luar negara.

Golongan ini, ujarnya, bukan sahaja terdiri daripada gra­­duan universiti, tetapi juga dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Malangnya, ada juga profesional seperti pensyarah yang memilih bekerja sebagai tukang cuci di Singapura dise­babkan perbezaan kadar mata wang,” tambahnya.

Pensyarah Kanan, Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Amirah Ahmad Suki, mencadangkan negara perlu menjalin kerjasama dengan syarikat antarabangsa untuk mewujudkan peluang pekerjaan kompetitif di dalam negara.

“Jika syarikat antarabangsa membuka cawangan di Malaysia, graduan tempatan akan mendapat pekerjaan dengan gaji stabil dan pengalaman bekerja dalam persekitaran global.

“Lebih penting, mereka berpeluang menjalani program mobiliti antarabangsa atau bekerja di luar negara selama setahun sebelum kembali ke Malaysia untuk menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya