HULU LANGAT: “Dia bercita-cita tinggi untuk bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat firma audit terbesar dunia. Itu impiannya,”
Demikian luahan Saiful Alimin Mohd Mokhtar, 58, bapa kepada pelajar cemerlang perakaunan, Aysar Zahran Saiful Alimin, 20, yang maut dalam kemalangan di Jalan Hulu Langat-Ampang, kelmarin.
Katanya, arwah sering menyuarakan hasrat untuk menjadi seorang akauntan dan berkhidmat di salah satu firma audit terbesar dunia.
“Saya sentiasa memberi galakan kepadanya kerana ia peluang kerjaya yang baik. Malah, saya turut menasihatinya agar mengambil contoh daripada rakan-rakan saya yang berjaya dalam bidang tersebut.
“Saya reda dengan kejadian tersebut walaupun sangat sedih kehilangannya. Saya serahkan siasatan kepada pihak berkuasa dan berharap keadilan buat anak saya,” katanya kepada pemberita di Masjid Al-Muttaqin di sini, semalam.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira 4.45 petang kelmarin, motosikal ditunggang arwah dirempuh sebuah Perodua Alza yang memasuki laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.45 petang ketika empat motosikal dan sebuah kereta sedang bergerak dari Hulu Langat ke Ampang.
Jenazah disolatkan di Masjid Al-Muttaqin dan dikebumikan pada di Tanah Perkuburan Batu 16, Hulu Langat.
Aysar mengikuti Program Asas Perakaunan (FIA) Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) di Tymba Education Group muncul sebagai penuntut terbaik Malaysia serta tempat kedua peringkat dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) dalam peperiksaan Disember lalu.










