ATM fokus urus persepsi, buktikan keutuhan angkatan

ATM fokus urus persepsi, buktikan keutuhan angkatan

Jeneral Mohd Nizam Jaffar memeriksa kawalan kehormat pada Majlis Sambutan Mula Tugas dan Ucaptama Panglima Angkatan Tentera ke-23 di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menumpukan kepada tiga pengurusan persepsi dalaman membabitkan anggota dan rakyat secara umum.

Panglima ATM, Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar berkata, objektif itu menjadi keutamaan bagi membuktikan keupayaan angkatan pertahanan negara mampu melangkah ke hadapan.

Katanya, objektif itu akan digerakkan melalui Pelan Strategik Media selain akan membuat kajian impak sebaik sesuatu pelaksanaan dijalankan.

“Persepsi ini yang perlu kita lihat dan diperhalusi. Bagaimana kita menguruskan persepsi dalam keadaan yang terbaik.

“Menguruskan persepsi ini akan dilaksanakan bersama aktiviti lain bagi membuktikan bahawa ‘ini adalah kami dan ini hala tuju kami’.

“Interaktif bersama media itu sangat-sangat penting. Peranan media bukan hanya sekadar memaklumkan apa yang dilakukan (oleh ATM) tetapi kami akan buat kajian impak bagi setiap pelaksanaan. Dari situ kita akan bergerak ke hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Mula Tugas dan Ucaptama Panglima ATM Ke-23 di Wisma Pertahanan di sini, semalam.

Sebelum ini, persepsi negatif terhadap ATM digembar-gemburkan menerusi media sosial yang mempersoal tahap kemampuan angkatan itu.

Mengulas lanjut, Mohd. Nizam berkata, tiga pengurusan persepsi membabitkan sumber manusia, modal insan dan latihan itu akan menjadi bukti kepada orang awam tentang kemampuan ATM ketika ini.

Jelasnya, ia berikutan terdapat hantaran di media sosial yang memperlekeh kemampuan dan pengurusan ATM.

“Kami akan menguruskan persepsi terhadap tiga perkara ini. Kami ingin buktikan kepada mereka bahawa kita ada dan bukannya seperti yang didakwa di media sosial hari ini.

“Jika dilihat di media sosial, mungkin mereka di luar sana rasa ingin tahu dan mungkin mereka kurang pengetahuan (tentang ATM).

“Justeru, kita akan memaklumkan (kepada mereka) hala tuju ATM yang sebelum ini telah disampaikan tetapi dengan le­bih penjelasan agar kita dapat di­lihat sebagai satu angkatan yang utuh dan bersepadu,” tegasnya.

Mohd. Nizam juga menggesa warga ATM melaksanakan perubahan bagi mendepani cabaran geopolitik, siber, media sosial dan isu-isu dalaman itu perlu agar mampu melonjak ke hadapan.

“Dalam dunia yang dinamik dan penuh ketidakpastian ini, istilah Vuca yang merujuk kepada ‘Volatility’, ‘Uncertainty’, ‘Complexity’ dan ‘Ambiguity’ sering digunakan untuk membantu memahami serta menggambarkan sifat cabaran dalam persekitaran moden yang sentiasa mengalami perubahan pesat.

“Tanpa pilihan, kita juga mesti berubah dan melaksanakan transformasi perubahan yang diperlukan,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ber­kenan menerima menghadap Mohd. Nizam dan bekas Pang­lima ATM, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman di Istana Negara semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×