KUALA TERENGGANU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu memilih ketua yang berani dan berwibawa untuk memimpin sayap itu dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei ini.
Ketua AMK Terengganu, Md. Asyraf Zulfadhly Md. Zainudin berkata, calon yang terbaik dan mampu menggalas amanah tersebut ketika ini adalah Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim.
“Pemilihan ketua AMK kali ini amat penting bagi memastikan hala tuju progresif dan relevan dengan tuntutan semasa. Kepemimpinan yang berwibawa dan berani diperlukan bagi memimpin AMK ke arah lebih dinamik dan mantap dalam menghadapi cabaran politik negara.
“Sebagai pemimpin yang berani dan mempunyai rekod kepimpinan yang kukuh, kami yakin Muhammad Kamil menjadi pilihan tepat untuk memimpin AMK dengan penuh integriti dan semangat juang yang tinggi,” katanya di sini semalam.
Baru-baru ini, media melaporkan, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui ada menerima permintaan daripada akar umbi untuk beliau bertanding bagi jawatan Ketua AMK.
Md. Asyraf Zulfadhly menyeru kepada seluruh anggota AMK untuk memberikan sokongan penuh kepada calon yang mampu memimpin dengan tegas, berani dan berfokus ke arah pencapaian matlamat AMK yang lebih progresif.
“Pemilihan ini bukan sahaja penting untuk masa depan AMK tetapi juga memastikan bahawa gerakan ini terus memainkan peranan utama dalam membentuk masa depan politik negara.
“Kita akan menyuarakan aspirasi anak muda, meningkatkan penglibatan politik serta memacu agenda reformasi ke arah yang lebih inklusif dan adil,” katanya.










