SEMASA Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Isnin lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya ahli Parlimen berhenti bermain politik ketika berbahas di Dewan Rakyat sekali gus memberi ‘tamparan’ hebat buat mereka.
Jika dilihat pada situasi perbahasan Dewan Rakyat sebelum ini, ramai kalangan ahli Parlimen seolah-olah tidak serius berbincang soal dasar negara dan kebajikan.
Kadang-kadang, apa yang dibangkitkan segelintir ahli Parlimen ada berbaur politik atau tersasar daripada landasan perbahasan sebenar, sehingga memakan lama untuk rang undang-undang (RUU) digubal dan diluluskan.
Titah Sultan Ibrahim, Parlimen dewan perhimpunan paling utama yang menjadi gelanggang pertemuan suara rakyat dan menjadi medan semak dan imbang atas pentadbiran negara.
“Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah, tetapi adalah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
“Hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri saja,” titah baginda ketika menyampaikan Titah Diraja.
Titah Sultan Ibrahim, masih ada segelintir daripada mereka sukar membuang sikap lama.
“Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk ini kerana saya percaya setiap ahli Parlimen sedar dan tahu bagaimana menjaga tingkah laku masing-masing,” titah baginda.
Mingguan Malaysia bertemu Ahli Parlimen Hulu Langat dari Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Sany Hamzan mendapatkan maklum balas tentang seruan Seri Paduka di Parlimen, baru-baru ini.
Semua tahu beliau antara ahli Parlimen sering membuat kecoh dalam mesyuarat Dewan Rakyat, tidak kiralah sama ada bertujuan menyokong kerajaan atau melawan hujah pembangkang.
“Saya sedar akan ada yang tidak bersetuju dengan cara saya ketika mesyuarat. Tetapi, saya tahu apa saya lakukan asalkan niatnya baik. Namun, selari dengan harapan Seri Paduka, saya harap sidang kali ini ada beberapa kemajuan dicapai mencakupi kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negara.
“Ini termasuk dasar meningkatkan peluang pekerjaan, pendapatan rakyat, memudahkan proses investasi asing yang akan mencipta pekerjaan dan peluang ekonomi kepada rakyat,” katanya.
Ahli Parlimen Ledang dari PKR Syed Ibrahim Syed Noh berkata, reformasi institusi dan perundangan perlukan dilaksana khususnya dalam memperkasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan institusi kehakiman negara ini.
Beliau menggesa supaya laporan interim tentang RUU berkaitan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa dibentang dalam mesyuarat kali ini atau dibawa dalam JKPK termasuk Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia-Integriti, Governans dan Anti-Rasuah (KRPPM-IGAR).
“Tatakelola yang baik adalah asas kepada keyakinan rakyat. Tatakelola cekap dan stabil ialah kunci kepada kejayaan Malaysia sebagai negara maju.
“Ada baiknya kerajaan terus memberi penjelasan dan penyampaian mesej terhadap beberapa perkara yang dikatakan menjadi pertikaian sekarang.
“Ini untuk menangkis apa jua tohmahan terdapat campur tangan politik dalam ikhtiar kerajaan untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin (Bebas) mahu supaya institusi Parlimen terus diperkasa melalui penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen bagi memberi kuasa autonomi kepada pentadbiran dan kewangan Parlimen.
“Ini merupakan satu daripada langkah reformasi oleh kerajaan sekali gus memartabat doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dan eksekutif,” katanya.
Bertekad untuk terus membawa suara masyarakat Tenom, Sabah, beliau akan membangkitkan isu berkaitan keterjaminan makanan, operasi pekebun kecil, infrastruktur jalan dan masalah dihadapi.
Beliau turut prihatian tentang kerosakan jalan raya Persekutuan di negeri itu yang diselenggara pihak konsesi bagi memastikan akses perhubungan pertanian berkualiti dinikmati pekebun.
“Selain isu pembinaan sekolah baharu, saya tidak lupa tentang permohonan pelaksanaan projek penstabilan Tenom dan berkaitan Kadar Pengeluaran Insentif Getah. Sudah pasti isu ini akan memberi impak kepada kualiti kehidupan penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN










