KLANG: Penjenayah yang ditembak mati di Pulau Ketam di sini, dipercayai merancang untuk menyamun kedai emas di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 8 Februari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan pihaknya mendapati suspek lelaki berusia 30-an itu membuat persiapan untuk melakukan jenayah itu di dalam premis pusat beli-belah berkenaan.
Jelas beliau, seorang pekerja pembersihan warga asing berusia 30-an yang cedera ditembak dalam kejadian itu merupakan mangsa keadaan.
“Ada benda yang mengganggu (rancangan) sehingga menyebabkan suspek melepaskan tembakan secara rambang sehingga mengena pada mangsa dan cermin premis di lokasi kejadian.
“Kami percaya suspek mahu menyamun kedai emas dan mana-mana premis di situ,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang di sini, hari ini.
Tambah beliau, kes itu dianggap selesai dan mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan stabil.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan polis suspek maut ditembak dalam insiden berbalas tembakan di sebuah hotel di Pulau Ketam di sini, kira-kira pukul 3 pagi tadi.
Polis sebelum ini mengesahkan suspek dikenali Ah Boy yang menembak pekerja pembersihan di pusat beli-belah itu turut mengugut pengunjung lain memandu keluar bagi meloloskan diri.
Suspek kemudian minta diturunkan di tepi jalan kawasan sebuah lebuh raya lalu menghilangkan diri.
Siasatan mendapati suspek melepaskan empat das tembakan ke atas mangsa lelaki berusia lewat 30-an yang mahu menyimpan peralatan mencuci di aras P1.
Mangsa yang cedera di kaki dan punggung kemudian melarikan diri dan masuk ke dalam pusat beli-belah bagi mendapatkan bantuan manakala suspek lari ke aras P2.
Suspek kemudian bertindak menahan sebuah kereta Perodua Ativa dipandu seorang pengunjung dengan mengacu pistol dan memaksa membawanya keluar dari kawasan Shah Alam. – UTUSAN