Ah Boy cari khidmat bot ke Thailand - Utusan Malaysia

Ah Boy cari khidmat bot ke Thailand

KEADAAN lokasi kes tembakan di sebuah hotel di Pulau Ketam, Klang, Selangor, hari ini.-FOTO/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Penjenayah dikenali sebagai Ah Boy yang maut ditembak di Pulau Ketam di sini, dipercayai sempat mencari perkhidmatan bot untuk ke Thailand sebelum kejadian itu.

Seorang penduduk berusia 30-an yang enggan dikenali berkata, lelaki itu datang bertanyakan perkara itu kepadanya, petang semalam.

“Pada waktu itu, saya bertanya semula kenapa dia tidak menaiki kapal terbang. Namun, dia memberitahu pasport kena blacklist (senarai hitam).

“Saya turut diberitahu bahawa dia datang ke Pulau Ketam dengan menaiki feri dari jeti,” katanya ketika ditemui pemberita di Pulau Ketam petang ini.

Sementara itu, seorang pekerja hotel yang mahu dikenali sebagai Cha, 33, berkata, suspek mendaftar masuk di bilik tingkat bawah premis berkenaan, kira-kira pukul 5.15 petang semalam.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa mengenai suspek bertopi itu yang mahu menginap selama tiga hari.

“Namun, kira-kira pukul 3.15 pagi tadi, saya terkejut apabila terdengar bunyi tembakan dan diarah polis supaya segera keluar dari hotel itu,” katanya.

Tambahnya, kejadian itu kali pertama berlaku di hotel berkenaan yang mempunyai 42 bilik dan beroperasi sejak 31 tahun lalu.

“Saya bersyukur kerana beberapa pekerja dan 12 penginap lain terselamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan suspek yang terlibat dalam kes tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, 8 Februari lalu maut ditembak polis dalam insiden berbalas tembakan di sebuah hotel di sini, kira-kira pukul 3 pagi tadi. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN