EMPAT penggal berturut-turut dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau di bawah Parlimen Parit Buntar, Datuk Abdul Yunus Jamahri sentiasa dekat dengan rakyat yang akrab mengenalinya.
Sesuai dengan ekonomi setempat yang bergantung kepada pertanian khususnya padi dan perikanan, golongan itu antara yang mendapat perhatian Abdul Yunus.
Sejak pertama kali dipilih sebagai wakil rakyat di DUN Kuala Kurau pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 2008, Abdul Yunus, yang merupakan ADUN Perikatan Nasional (PN) sentiasa mengambil berat apa jua masalah yang dihadapi golongan itu.
“Ekonomi utama di Parit Buntar adalah pertanian terutama sawah padi dan perikanan. Pesawah dan nelayan antara yang saya berikan perhatian terutama dalam memberikan bantuan yang mereka perlukan.

“Dalam masa sama, saya berharap kerajaan terus membela golongan pesawah terutama dalam isu harga belian padi RM1,300 per tan yang sedang hangat diperkatakan sekarang yang dibantah oleh pesawah
“Saya percaya pesawah mempunyai sebab kukuh untuk membantah harga belian padi itu yang tidak mencerminkan realiti kos pengeluaran padi yang semakin meningkat ketika ini.
“Saya berharap kerajaan mengkaji semula penetapan harga minimum belian padi. Ini kerana pesawah menanggung pelbagai kos,” katanya.

ato’ Abdul Yunus Jamahri dilahir pada 23 September 1972 di Kuala Kurau, Perak. Beliau berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau sejak tahun 2008. Beliau memegang jawatan ini selama empat penggal berturut-turut.
Kerjaya Awal:
Guru Sandaran
(1993 – 1994)
Pegawai Imigresen
(1994 – 1998)
Penglibatan Politik:
Bekas ahli PKR sehingga tahun 2020.
Menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 2020, yang merupakan komponen dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Jawatan dalam Parti:
Ketua Cawangan Batu 14 Kuala Kurau (PKR)
(1999 – 2019)
Ketua Cabang PKR Parit Buntar (2008 – 2018)
Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) PKR Perak (2014 – 2018)
Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak (2010 – 2018)
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR
(2014 – 2018)
Ahli Jawatankuasa Perikatan Nasional Negeri Perak (2021)
Jawatan dalam
Kerajaan Negeri
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan (2018 – 2019)
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan (2020)
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil (2020 – 2021)
Katanya, fokus kepada pesawah juga diberikan perhatian dalam usaha membangunkan jelapang padi di Kerian, sekali gus memperkukuhkan sektor makanan negara.
Lantaran itu, katanya, pesawah berhak mendapat pembelaan sewajarnya melalui pulangan atau hasil yang mereka peroleh melalui jualan padi pada setiap musim.
“Saya berasal dari sini. Saya memahami bagaimana susahnya untuk mengusahakan sawah tetapi lebih teruk jika harga padi yang dijual tidak berbaloi. Saya akan terus memperjuangkan isu harga belian padi dan berharap kerajaan memberikan perhatian,” katanya.
Tambah beliau, isu berkaitan beras tempatan yang sukar didapati di pasaran sekarang juga harus diselesaikan demi membela nasib pesawah.
“Lebih daripada itu, kita perlu bergantung pada produk tempatan,” katanya.
Abdul Yunus juga memberi perhatian kepada sektor perikanan yang merupakan salah satu sektor utama di Kuala Kurau. Untuk itu, salah satu projek yang sedang diperhebatkan adalah pemodenan industri perikanan yang diharapkan dapat memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan nelayan tempatan.
“Kita tidak mahu lagi mendengar nelayan sebagai golongan yang dikaitkan dengan kemiskinan kerana mereka berperanan penting dalam menjamin bekalan makanan negara.
“Di peringkat saya, saya cuba membantu apa yang terdaya namun lebih penting kerajaan melihat apakah keperluan golongan ini dan memberikan bantuan untuk meningkatkan ekonomi hidup mereka,” katanya.
KEBAJIKAN RAKYAT
TUGAS sebagai wakil rakyat tidak memilih hanya golongan tertentu untuk dibantu sebaliknya Abdul Yunus kerap turun padang membantu secara terus dalam aspek kebajikan terutama yang menderita penyakit kronik dan yang ditimpa musibah.
Malah, beliau menceritakan detik yang tidak dapat dilupakan kejadian kebakaran rumah Tanjung Piandang, Parit Buntar pada 18 Januari lalu yang melibatkan empat rumah penduduk.
“Kejadian itu merosakkan rumah penduduk yang kehilangan harta benda dan saya berusaha untuk membantu mereka agar kehidupan seharian mereka tidak terjejas,” katanya.
Kemudahan infrastruktur terutama jalan perhubungan yang selesa untuk rakyat juga sentiasa diperjuangkan oleh Abdul Yunus.
Katanya, jalan kampung dan jalan utama seperti di sekitar kawasan jelapang padi di Kerian dan di jeti nelayan harus diperkasakan demi memastikan kelancaran pergerakan barang dan perkhidmatan.
“Pembangunan jalan raya yang lebih baik, lebih-lebih lagi di pedalaman sangat penting. Dengan sokongan daripada semua pihak, saya yakin projek pembinaan infrastruktur terutama jalan dapat dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Yunus tidak mengetepikan keperluan lain untuk komuniti setempat antaranya pembinaan Dewan Serbaguna di pekan Kuala Kurau, yang diharapkan dapat menjadi tempat strategik untuk pelbagai aktiviti sosial dan ekonomi penduduk setempat. – UTUSAN










