102 tan dadah dirampas sejak Mac 2024

102 tan dadah dirampas sejak Mac 2024

Khaw Kok Chin (tengah) bersama masyarakat Siam ketika hadir pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Sik, semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Sebanyak 102 tan dadah dan racun bernilai RM1.67 bi­lion merangkumi jenis sintetik dan konvensional termasuk ketum dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi dan serbuan dilaksanakan sejak Mac 2024 hingga 16 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, methamphetamine menjadi dadah tertinggi yang dirampas iaitu 39,397 kilogram (kg) diikuti ganja sebanyak 3,203kg dan ekstasi berjumlah 2,513kg.

Katanya, rampasan ketum pula melibatkan 53,879kg bahan itu, di samping ketamin (946kg); pil yaba (786kg); pil erimin 5 (758kg); heroin (596kg); kokain (89kg) dan lain-lain (301kg).

“Sebanyak 219 sindiket melibatkan 675 tangkapan berjaya ditumpaskan dalam tempoh itu. Secara keseluruhannya, seramai 248,885 tangkapan berjaya dilakukan iaitu paling ramai 149,910 kerana positif air ken­cing dan bakinya akibat membekal dan memiliki.

“Tangkapan melibatkan penjawat awam pula seramai 719 orang dengan 365 daripadanya akibat urine diikuti 287 (memiliki); 61 (bekalan) dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (6),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik semalam.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, trend penyalahgunaan dadah dalam tempoh tiga tahun ini merekodkan peningkatan ketara apabila seramai 192,857 orang terlibat pada tahun lalu sekali gus meletakkan kegiatan itu dalam kea­daan membimbangkan.

Katanya, berbanding tahun 2023, mereka yang terlibat pe­nyalahgunaan dadah adalah seramai 145,526 orang dan 137,176 orang pula pada 2022.

Tambah Kok Chin, kadar pertuduhan di mahkamah pula merekodkan 93.58 peratus manakala nilai harta disita sebanyak RM98.1 juta selain RM11.5 juta adalah nilai harta dilucut hak akibat kesalahan dadah.

“Bagaimanapun saya ingin menjelaskan bahawa negara kita masih menjadi lokasi transit untuk dadah-dadah ini dihantar ke negara ketiga menggunakan kontena disebabkan permintaan yang tinggi,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN