PETALING JAYA: Musim cuti berganda iaitu perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah menyaksikan warga kota meninggalkan ibu negara sama ada pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga.
Tanpa mengira kaum dan agama, rakyat negara ini bersama-sama meraikan musim cuti itu untuk berjumpa dan berkumpul dengan keluarga tersayang selepas sibuk mencari rezeki.
Kepulangan warga kota ke kampung halaman itu juga pasti dinantikan oleh keluarga tersayang.
Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari, terutamanya pada 24 Januari, 25 Januari, 31 Januari dan 1 Februari 2025 sempena Tahun Baharu Cina yang disambut hari ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, peningkatan tersebut adalah hampir 20 peratus berbanding hari biasa di rangkaian lebuh raya PLUS.
“PLUS mengambil tiga pendekatan strategik sebagai persediaan menghadapi peningkatan trafik sempena perayaan Tahun Baharu Cina dengan memberi tumpuan khusus kepada pengurusan trafik dan insiden yang lebih efisien.
“Ini termasuk pengaktifan 25 lokasi Smart Lane dan mempertingkat kesiapsiagaan aset dan anggota pasukan tindak balas kecemasan (ERT) untuk menguruskan insiden lebuh raya,” katanya dalam kenyataan.
PLUS turut menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan jalan di lebuh raya bermula 23 Januari hingga 3 Februari 2025.
“PLUS juga menambah baik kemudahan awam di lebih 50 lokasi sejak tahun 2023 dan menambah 50 tandas kabin bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih lancar, selamat dan selesa,” katanya.
Berdasarkan data pola pergerakan trafik musim perayaan, PLUS juga menyediakan aplikasi MyPLUS-TTA untuk memudahkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula menjangkakan aliran trafik meningkat di lebuh raya utama dari ibu kota menghala keluar ke utara, timur dan selatan sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
Ia susulan peningkatan pergerakan kenderaan sebanyak 2.6 juta sehari akan menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan tersebut.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti sebanyak 483 lokasi yang berisiko tinggi kemalangan jalan raya sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Yusri Hassan Basri berkata, jumlah itu membabitkan 407 hot spot atau kawasan sesak dan 76 black spot atau lokasi yang sering berlaku kemalangan jalan raya di seluruh negara.
Antara kawasan tersebut adalah Lebuhraya Timur-Barat, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Lebuhraya Seremban, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Persiaran Selatan dan Jalan Ampang dan Jalan Bahau-Rompin.
Katanya, lokasi berkenaan telah dikenal pasti berdasarkan data kemalangan sebelum ini sekali gus menjadi tumpuan pihaknya pada setiap kali musim perayaan.
“Para pengguna jalan raya disarankan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dengan lebih berhati-hati terutamanya ketika melalui kawasan berkenaan.
“Lokasi berkenaan dikenal pasti berdasarkan data kemalangan sebelum ini dan pemantauan berterusan akan dilakukan oleh pihak JSPT bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Kami (polis) berharap pengguna dapat mematuhi peraturan dan mengelakkan sebarang kesalahan trafik yang boleh mengundang risiko,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Yusri berkata, sebanyak 3,609 pegawai dan anggota JSPT dikerahkan sepanjang musim perayaan ini dalam usaha memastikan kelancaran trafik.
Katanya, JSPT turut menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) di sepanjang lebuh raya utama bagi menangani kemalangan jalan raya dengan lebih pantas dan berkesan.
“Di setiap hentian Rehat dan Rawat (R&R), anggota JSPT bersama agensi lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), PLUS Malaysia Berhad, ambulans dan bomba akan berada di lokasi bagi membantu pengguna yang menghadapi kesulitan,” jelasnya.
Beliau memaklumkan kenderaan berat juga dilarang berada di jalan raya selama empat hari sempena Tahun Baharu Cina.










