Wanita dakwa ditipu teman lelaki penjawat awam lebih RM300,000

Wanita dakwa ditipu teman lelaki penjawat awam lebih RM300,000

JIHAN menunjukkan laporan polis berkaitan penipuan yang dilakukan bekas teman lelakinya yang merupakan penjawat awam di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Terpedaya dengan janji manis teman lelaki untuk mengahwininya, seorang wanita kerugian lebih RM300,000 apabila mendakwa ditipu lelaki terbabit.

Lebih malang wanita berusia 39 tahun yang merupakan anak kepada seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ itu turut menjadi mangsa pukul lelaki terbabit selepas empat tahun menjalin hubungan termasuk pernah diugut dicederakan menggunakan pisau.

Menurut wanita yang mahu dikenali sebagai Jihan itu, dia mengenali lelaki berusia 38 tahun yang bekerja di sebuah agensi penguat kuasa di Langkawi itu pada 2020.

“Pada awal mengenalinya dia memberitahu sedang dalam proses berpisah dengan isterinya dan saya mula terpikat dengan sikapnya yang romantis dan bertanggungjawab.

“Kerana termakan pujukannya yang berjanji untuk mengambil saya menjadi isterinya, saya sanggup memenuhi pelbagai kemahuannya termasuk berhabis duit membelikan rumah di Langkawi, kereta BMW, motosikal berkuasa tinggi, jam tangan mewah selain memasukkan wang ke akaunnya sebanyak RM3,000 setiap bulan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Namun kata ibu tunggal itu, keadaan mula berubah pada 2023 apabila dia mendapat tahu yang penjawat awam itu masih mempunyai isteri dan seorang anak yang menyebabkan dia merasa ditipu.

“Sejak itu saya tidak lagi memberi wang seperti yang dimintanya selain menghentikan ‘saraan’ bulanan kepadanya menyebabkan dia mula bertukar menjadi panas baran.

“Setiap kali bertemu, saya dimaki hamun dan mula menjadi mangsa belasahannya termasuk dicekik, ditumbuk, ditendang termasuk menghantuk kepala di dinding menyebabkan saya terpaksa mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di pulau peranginan itu,” katanya.

Jihan yang bekerja di sebuah hotel milik keluarganya di Sungai Petani berkata, sejak pergaduhan besar antara mereka dua bulan lepas hingga diugut akan dicederakan dengan pisau, dia mula sedar yang lelaki terbabit tidak ikhlas untuk berkahwin sebaliknya hanya mahu mengikis wangnya.

“Saya tidak lagi mempercayainya selain tindakan ganasnya yang sering memukul, dia mula menjauhkan diri daripada saya namun dalam masa sama masih mengugut termasuk cuba mengaibkan diri saya dan terus menghantar WhatsApp berbaur ugutan.

“Keadaan itu menyebabkan saya tertekan dan runsing hingga menyebabkan saya terpaksa menyekat panggilan daripada nombor telefon miliknya,” katanya.

Kata Jihan, bimbang keselamatan diri, dia kemudian membuat laporan polis terhadap penjawat awam berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashaari ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tetapi enggan mengulas lanjut kerana masih menjalankan siasatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN