Wang Kelian bakal berwajah baharu

Wang Kelian bakal berwajah baharu

LAKARAN ilustrasi pembangunan Wang Kelian View Point yang akan dilaksanakan Wilayah Eko­nomi Koridor Utara (NCER) di Wang Kelian, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Wang Kelian mempunyai potensi cukup besar sebagai tarikan pelanco­ngan di negeri ini bakal berwajah baharu melalui pembangunan Wang Kelian View Point di sini yang dilaksanakan Wilayah Eko­nomi Koridor Utara (NCER).

Pembangunan tersebut mem­babitkan naik taraf Dataran Wang Kelian View Point sedia ada selain pembangunan baharu di kawasan berhampiran itu dijangka siap sepenuhnya pa­da 2026

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan berkata, projek ber­­kenaan sudah memasuki pro­­ses pelantikan kontraktor me­lalui proses tender terbuka yang dilakukan NCER. 

Katanya, projek Wang Kelian View Point yang lokasinya terletak pada ketinggian 298 meter dari paras laut dengan jarak hanya tujuh kilometer dari pintu masuk sempadan Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian-Satun itu melibatkan naik taraf Dataran View Point  sedia ada dan pembangunan baharu di kawasan tempat letak kereta sedia ada di kawasan berkenaan.

“Selain itu, NCER juga akan membangunkan infrastruktur seperti dek pemandangan kaca, dataran, kafe, pelantar laluan , pusat pengunjung, kiosk makanan dan minuman serta kawasan tempat kereta lebih luas.

“Wang Kelian merupakan kawasan tumpuan pembangunan ekopelancongan Perlis yang selari dengan Perancangan Fizikal Pelan Induk Pelancongan Negeri Perlis. Manakala, Wang Kelian View Point adalah sebuah destinasi pelancongan yang cukup popular dalam kalangan pelancong tempatan serta luar negara sekali gus antara lokasi wajib dikunjungi di Perlis. 

“Keistimewaan kawasan ini ialah tarikan fenomena ‘awan karpet’ di awal pagi. Di samping itu, keindahan pemandangan tanah pamah dari dataran yang tinggi serta kehadiran habitat semula jadi seperti beruk kentoi, lutong dan burung hantu busut antara yang menarik perhatian pengunjung ke kawasan ini.

“Namun begitu, NCER mendapati potensi Wang Kelian View Point masih belum dimaksimumkan sepenuhnya kerana masih kekurangan kemudahan awam dan ketiadaan aktiviti sampingan serta produk yang menarik untuk pelancong dan cadangan pembangunan tersebut dilaksanakan,” katanya.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, sebelum keterujaan rakyat Malaysia ke Thailand, Wang Kelian di sini pernah menjadi tumpuan de­ngan ribuan pengunjung me­ngunjungi kawasan berkenaan untuk membeli-belah pada hujung minggu.

Pada masa itu, ratusan bas setiap minggu membawa pelancong dari seluruh pelosok negara datang ke zon aliran bebas berkenaan dengan ketika itu juga kegiatan ekonomi penduduk setempat dan negeri begitu rancak.

Namun, selepas zon aliran bebas itu ditutup pada 2015 ekoran isu keselamatan menyaksikan lokasi berkenaan ibarat kawasan mati dengan orang ramai hanya menjadikan ia sebagai laluan untuk ke Thailand.

Mohamad Haris berkata, pro­jek Wang Kelian View Point bakal menyajikan pengalaman baharu kepada para pelancong dan secara tidak langsung meningkatkan imej pintu masuk negara serta kedatangan pelancong antarabangsa memandang­kan kawasan ini terletak di sempadan Thailand.

“Menerusi tarikan yang le­bih menarik itu, NCER menjang­kakan peningkatan jumlah pe­ngun­jung ke Perlis yang sekali gus bakal menyumbang kepada aktiviti ekonomi masyarakat setempat seperti sektor makanan dan minuman, penginapan serta logistik.

“Selain itu, pembangunan ini juga dijangka akan membuka peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat serta merangsang pembangunan eko­nomi sekitar dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Ha­ris berkata, jejak pelancongan Wilayah Utara merupakan salah satu daripada enam sektor tumpuan di bawah pelan strategik NCER bagi merancakkan pembangunan kawasan-kawasan pe­­lancongan strategik yang berpotensi untuk dikembangkan melalui kerjasama awam dan swasta.

Katanya, jejak pelancongan tersebut menawarkan pakej pe­lancongan lengkap kepada para pelancong untuk menerokai Wi­layah Utara yang kaya dengan pelbagai sumber alam semula ja­di, arkeologi, sejarah dan kebudayaan.

“NCER akan terus memacu kerjasama dengan sektor swasta bagi merangsang pelaburan dan pelancongan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN