DALAM kesibukan menyantuni rakyat di Parlimen Masjid Tanah, Melaka, ada satu hal terbuku di hati Datuk Mas Ermieyati Samsudin, iaitu peruntukan kerajaan untuk semua ahli Parlimen pembangkang masih belum ditunaikan. Satu sen pun tiada yang mengalir ke akaun pejabat parlimennya seperti yang dijanjikan untuk disalurkan dalam membantu rakyat seperti kelaziman sebelum ini.
Ketika ralit bercakap soal keperluan masyarakat dan pembangunan di kawasan, sebolehnya Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sebolehnya tidak menyentuh soal peruntukan yang dicanang-canang dalam ruangan massa selama ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui sukar mengetepikan soal peruntukan kerana Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu antara yang berdepan cabaran dalam usaha memastikan rakyatnya diurus dengan baik.
“Peruntukan ini sepatutnya diberi secara terus kepada wakil rakyat pembangkang kerana ini adalah hak kami yang dipilih rakyat semasa pilihan raya.
“Beri sahajalah peruntukan ini tanpa syarat-syarat menyulitkan lagi prosesnya. Saya bukannya ada banyak wang untuk mengurus Masjid Tanah,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika turun padang bersama pengundi Masjid Tanah, baru-baru ini.
Sebelum ini, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan dilapor bersetuju mempertimbangkan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang dan disusuli penyerahan draf kepada Perikatan Nasional (PN).

BIODATA
Nama penuh: Mas Ermieyati Samsudin
Penggal Parlimen: 3
Pendidikan:
Sijil Matrikulasi dalam Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) [1996]
Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, UKM [2000]
Sarjana Pengurusan Perniagaan, Asia E University [2019]
Kerjaya dan pengalaman:
Pengerusi PAC, Parlimen Malaysia [2023 – kini]
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) [2021-2022]
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi [2020 – 2021]
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan [2015 – 2018]
Setiausaha Khas (Perhubungan) kepada Ketua Menteri Melaka [2006 – 2013]
Ketua Wanita Perikatan Nasional Malaysia [ Nov 2024 – Kini]
Ketua Srikandi Bersatu Malaysia [Nov 2024 – Kini]
Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah [2020 – Kini]
Bagaimanapun, pada 15 September tahun lalu, semua ahli Parlimen PN sebulat suara menolak Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan berkaitan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang atas empat faktor antaranya didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof kemudian mendedahkan kandungan penuh draf MoU mengenai peruntukan yang ditolak.
Mas Ermieyati menjadi wakil rakyat di Parlimen Masjid Tanah selama tiga penggal pilihan raya umum (PRU) sejak 2013.
Mas Ermieyati berkata, terdapat beberapa keperluan mendesak di kawasannya yang menuntut perhatian kerajaan seperti banjir kilat, pembangunan kebajikan, pendidikan dan sektor kesihatan awam.
Katanya, kerajaan perlu menaiktaraf Klinik Kesihatan Masjid Tanah atau membina hospital baharu kerana Hospital Alor Gajah yang merupakan alternatif rakyat terletak jauh dari kawasannya.
“Kapasiti sedia ada tidak dapat menampung pesakit yang hadir ke sini. Lagipun, bilangan pesakit semakin bertambah,” katanya.
Katanya, kawasannya tidak terlepas daripada masalah infrastruktur memandangkan masih ada jalan raya yang tidak diturap dengan sempurna terutama di jalan perkampungan.
“Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa cakna kerana sistem perparitan tidak terancang dan kurang diselenggara dengan baik yang menyumbang kepada isu banjir kilat dan kerosakan struktur tanah. Perancangan Projek Tebatan Banjir juga harus segera dilaksanakan.
“Saya juga bimbang berlaku risiko kemalangan terutama pada waktu malam kerana kurangnya lampu jalan seperti di kawasan Paya Mengkuang menghala ke Kuala Sungai Baru juga di jalan Kampung Air Molek,” katanya.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati merancang mewujudkan lebih banyak program sukan dan belia di Masjid Tanah untuk membantu dalam kerja-kerja kesukarelawanan selain mempromosi usahawan di sana walaupun dengan sumber kewangan terhad.
“Peranan anak muda ini amat penting untuk pembangunan negara. Saya percaya, sedikit usaha ini dapat membina karakter mereka sebagai pemimpin masa hadapan. Lagipun, penyokong-penyokong saya di semua saluran undi juga adalah orang muda,” katanya.
Katanya, banyak lokasi boleh diteroka dalam memartabat pelancongan komuniti seperti pusat penetasan penyu di Padang Kemunting, Masjid Tanah, pantai di Pengkalan Balak, Tanjung Bidara,
juga di Kuala Sungai Baru, Taman Lokan, Sabak Arang serta Kolam Air Panas Cherana Putih.
“Ramai yang menjalankan perniagaan inap desa sebagai punca pendapatan. Ini suatu yang baik tetapi harus dilakukan bersungguh-sungguh.
“Untuk produk pelancongan pula ramai usahawan tempatan menghasilkan produk perniagaan seperti kuih bakar di Jalan Jeram – Lubok Redan, otak-otak Tanjung Bidara, Tapai Pulut Sarimah, kuih Serabai tradisional di kampung Air Limau, malah ada juga pelancong dari luar semata datang untuk menikmati rojak sotong di Warung Hijau Rojak Sotong,” katanya. – UTUSAN










