Tiada keupayaan teliti undang-undang lapuk

Tiada keupayaan teliti undang-undang lapuk

Laporan Utusan Malaysia 23 Januari 2025
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi mengakui tidak mempunya tenaga dan masa mencukupi bagi menilai semula seluruh undang-undang lapuk.

Pengerusi JKPK merangkap ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, jawatankuasa itu tidak mempunyai keupayaan untuk meneliti keseluruhan undang-undang lapuk yang ada dalam Perlembagaan.

“JKPK tidak ada kemampuan tenaga kerja dan masa untuk meneliti semua 3,000 lebih undang-undang lapuk.

“Kami hanya dapat meminta kementerian membentangkan dasar dan amalan yang digunakan termasuk menilai satu atau dua undang-undang yang kritikal untuk dipinda atau dimaklumkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan undang-undang lapuk perlu dihapuskan kerana ia tidak boleh menangani banyak cabaran baharu yang muncul ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia harus membuat perubahan itu sejajar dengan perkembangan pantas teknologi dan cabaran global dunia masa kini.

Katanya, kemajuan pesat teknologi hari ini menuntut kerajaan memupuk peluang-peluang besar dalam kerjasama antarabangsa bagi menghadapi cabaran-cabaran baharu.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengakui bahawa terdapat lebih 3,000 undang-undang lapuk yang didapati sudah tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.

Dalam pada itu, seorang daripada ahli JKPK merangkap ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, kerajaan sudah mula memberi fokus kepada undang-undang yang kritikal dan perlu dipinda sebaik sahaja Kerajaan Perpaduan dibentuk.

Katanya, terdapat banyak undang-undang lama yang perlu dipinda dan kerajaan telah memulakan langkah meminda undang-undang yang kritikal dan memberi keutamaan kepada yang paling mendesak.

“Kita boleh lihat setiap persidangan Parlimen, banyak undang-undang baru atau pindaan yang dibentangkan berkait rapat dengan keperluan semasa.

“Contohnya, kita sudah meluluskan pindaan undang-undang berkaitan akaun keldai untuk menangani isu penipuan dan scammer yang semakin berlelua­sa,” ujarnya.

Bertanya tentang adakah perlu diwujudkan jawatankuasa khas untuk menilai semula keseluruhan 3,000 undang-undang lapuk itu, beliau mengakui ia belum ada.

“Undang-undang ini melibatkan semua kementerian. Sehubungan itu, kementerian mempunyai keperluan lebih khusus untuk menilai undang-undang mana yang perlu dipinda atau dihapuskan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN