Tekad Haris Salleh Hamzah berkhidmat demi penduduk Jerantut

Terus berkhidmat demi penduduk Jerantut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada 13 Mei 2024, Haris Salleh Hamzah bertekad meneruskan amanah serta tanggunjawab menjaga kebajikan penduduk Jerantut termasuk mencongak hal ehwal pembangunan setempat.

Sebagai ADUN Lantikan bertaraf wakil rakyat sebenar, ia bukan perkara baharu buat Haris Salleh memandangkan sejak 11 tahun lalu beliau sudah aktif sebagai pemimpin setempat dengan jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Cawangan UMNO Kampung Koi, Damak bermula dari 2013 dan seterusnya sebagai Bendahari UMNO Jerantut pada 2018 sehingga dilantik Ketua UMNO Bahagian itu pada 2023.

Katanya, amanah dan titipan panduan serta nasihat Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail begitu berat dipikul, tetapi yakin dengan bantuan exco kerajaan negeri dan rakan UMNO Bahagian Jerantut pasti dapat menelusuri terowong yang cerah untuk penduduk di situ.

Nama penuh: Haris Salleh Hamzah
Pendidikan:
 Ijazah Sarjana Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) – 2000 -2004
 Diploma Lanjutan Syariah Universiti Teknologi Mara (UiTM) -2021 – 2022

Kerjaya dan Pengalaman:
 Peguambela dan Peguamcara
 Pegawai Undang Wong-Chooi & Mohd Noor, Kuala Lumpur – 2005 – 2008
 Pemilik firma Haris Salleh & Co. Managing
 Ahli Majlis Bar Council – 2004 – sekarang
 Ketua UMNO Jerantut – 2023
 Penyelaras DUN Pulau Tawar – 2023
 Ahli Lembaga Pengarah Pahang Mining Corporation – 2023

Pertubuhan Bukan Kerajaan:
 Ahli Jawatankuasa Jerantut Klang Valley – 2015
 Pengerusi Persatuan Solidariti Nasional (Perso­na) Pahang – 2022
 Ahli jawa­tan­kuasa Kecil Bagi Mesyuarat Hal Ehwal Agama Islam Pahang

“Sebelum dilantik ADUN dan sehingga kini, saya juga melakukan tugas sebagai peguam tentu sekali memikul tanggungjawab berat untuk menyelesaikan banyak kes malah hampir sama dengan tugas ADUN sebab menggunakan fikiran, cuma pendekatan berbeza.

“Tetapi, mempunyai tujuannya tetap sama, iaitu pada penghujungnya dapat menggembirakan pelanggan sebagai seorang peguambela dan peguamcara dan juga keselesaan kehidupan penduduk dipimpin oleh seorang ADUN atau pemimpin,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Haris Salleh anak kelahiran Kampung Koi, Damak merupakan lepasan Sekolah Menengah Agama (SMA) Padang Tengku, Lipis dan pemegang Ijazah Sarjana Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, antara teras perjuangan keramatnya, iaitu Islah dan Wasatiyyah bertujuan mengembalikan dan mengamalkan konsep kesederhanaan berdasarkan prinsip keislaman dengan memfokuskan pelbagai aspek kehidupan bermasyarakat.

Berhubung ADUN Lantikan, beliau berkata, tidak menerima tekanan dalam tugas walaupun segelintir pihak luar menyanggah cara pentadbiran melalui media Tiktok dan Facebook, tetapi kesemuanya didepani dengan hati terbuka dan matang dan sebagai seorang pemimpin.

Katanya, semua aktiviti hariannya mengikut jadual dan lancar kecuali seminggu sekali turut mengendalikan kes mahkamah di bawah syarikat guamannya, Haris Salleh & Co. Managing di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, jadual tugas yang diatur dalam tempoh tiga minggu amat ketat untuk berjumpa lebih 100,000 penduduk Jerantut dan menjelajah ke serata mukim, kampung dan ceruk untuk menyelami masalah rakyat.

“Selalunya jadual pergerakan tugas melibatkan kawasan jauh dan pedalaman seperti mukim Ulu Tembeling dan sebahagian Felda Lepar dan tidak akan selesai dalam tempoh singkat kerana

Jerantut mempunyai keluasan 7,563.46 kilometer persegi (km persegi) dan merupakan daerah terbesar di Pahang.

“Bayangkanlah daerah ini lebih besar dari Negeri Sembilan (6,686 km) sudah tentu memakan masa perjalanan dan mengerah kudrat kerana terpaksa melalui laluan jauh, berbukit, manakala sebahagiannya hutan tropika serta hutan simpan yang masih masih mengekalkan kehijauan flora dan habitat satwa,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya tugasan ADUN ke mukim Ulu Tembeling sudah tentu memakan jarak perjalanan jauh dan sebelum ini pernah bermalam di setiap kampung pesisir Sungai Tembeling untuk bertemu dengan penduduk pedalaman di situ.

“Mujurlah dengan komitmen pemimpin UMNO sebelum ini, sebatang jalan raya dari Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling sejauh kira-kira 50 kilometer siap dibina untuk memberikan keselesaan penduduk ke bandar Jerantut termasuk pelancong luar dan pelawat domestik mengunjungi kawasan berkenaan,” katanya.

Haris Salleh yang juga Ketua UMNO Jerantut berkata, beliau tidak berdepan masalah dalam tugasan kerana banyak dibantu oleh jawatankuasa UMNO bahagian itu, agensi kerajaan termasuk

Jawatan Kuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) yang sering mengatur program dengan lancar termasuk maklumat kebajikan penduduk dan pembangunan.

Berbalik kepada tugasan ADUN, beliau menjelaskan hampir kesemua masalah kebajikan penduduk diselesaikan secara berperingkat dengan peruntukan kerajaan negeri dan agensi tertentu seperti bantuan penyakit kronik, pendidikan, perumahan, belia dan perniagaan.

Katanya, beliau turut memfokuskan anak muda dalam semua aspek utama seperti pendidikan, ekonomi dan sukan selain menggalakkan keahlian dalam parti berasaskan teras ‘Anak Muda Bangsa’ salah satu dalam Tujuh Garis Keramat, Tujuh Teras Perjuangan transformasi berasaskan ‘Bangkit’ UMNO Jerantut.

Menurutnya, sebagai orang muda daripada sebuah keluarga yang sederhana di kampung, beliau sering menitip pentingnya pendidikan ke peringkat lebih tinggi temasuk bidang kema­hiran

Pen­didikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sering berbicara menerusi program motivasi di sekolah dan pertu­buhan belia.

Dalam pada itu, beliau berkata, tugasannya yang agak mencabar ketika berdepan Monsun Timur Laut (MTL) terpaksa meredah banjir bersama pihak berkuasa uniform dan agensi kerajaan ke setiap kawasan yang ditenggelami banjir sejak menjawat Ketua UMNO Jerantut pada 2023 lalu.

“Bencana itu memberikan pengalaman kepada kerajaan negeri termasuk agensi kerajaan untuk merencanakan pembangunan bagi mengatasi masalah tersebut secara berperingkat, iaitu dengan menaik taraf jalan raya di Jalan Jerantut-Kuala Tahan berdekatan Paya Garok dan Jalan Jerantut-Lipis di Kampung Paya Teh, Bukit Mentimun dan Bukit Atap kini dalam perhatian.

“Kerajaan juga sedang dan berusaha merangka semula pembinaan penempatan baharu termasuk projek tebatan di pesisir Sungai Tembeling dan Sungai Pahang secara berperingkat bagi mengelakkan ancaman banjir setahun dua kali ketika Monsun Timur Laut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN