Sumbangan Tunai Rahmah ringankan beban sara hidup rakyat

Sumbangan Tunai Rahmah ringankan beban sara hidup rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyaluran ban­tuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang mula diagihkan bermula semalam jelas dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup penerima sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 8.3 juta individu.  

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan penerima menyambut baik inisiatif tersebut dan menyifatkannya sebagai tanda peduli kerajaan terhadap kehidupan rakyat pada masa ini.

Seorang pekerja swasta, Imran Akmal Kamarudin, 24, berkata, penerimaan STR secara terus melalui akaun bank pada kali ini amat memudahkan semua pihak yang menerimanya.

Katanya, penggunaan bantuan tersebut tidak terhad kepada mana-mana kedai tertentu, sekali gus memudahkannya berbelanja.

“Saya dapat RM150 dan akan menggunakannya sebaik mungkin. Walaupun jumlahnya tidak besar, ia memadai sebagai tambahan untuk perbelanjaan makanan harian sementara menunggu gaji masuk. Sejujurnya, saya tersenyum apabila melihat duit itu dikreditkan,” katanya.

Dalam pada itu, pekerja sektor awam, Nurfatin Athirah Azman, 24, berkata, dia turut menyambut baik penyaluran STR melalui akaun bank dan akan menggunakannya untuk memenuhi keperluan asas seperti kos pengangkutan dan makanan.

“Sebelum ini bantuan kerajaan pernah diberikan melalui aplikasi Touch & Go eWallet, tetapi itu agak menyusahkan. Ramai yang tidak tahu menggunakan aplikasi tersebut lebih-lebih lagi golongan pertengahan.

“Saya gembira kerajaan kini memilih saluran melalui bank kerana semua orang pasti mempunyai akaun bank dan tahu menggunakannya,” katanya.

Bagi peniaga atas talian, Aqilah, 30, berkata, beliau sangat gembira atas bantuan kredit STR yang diberikan oleh kerajaan.

Namun, dia meluahkan sedikit kekecewaan terhadap sistem permohonan bantuan tersebut yang dianggap agak rumit terutamanya bagi individu yang kurang mahir dalam teknologi maklumat.  

“Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk memperbaiki sistem permohonan agar lebih mesra pengguna, asalkan pemohon memenuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.  

Seorang lagi penerima STR, Atik Nabila Zain, 25, berkata, dia sangat bersyukur dengan inisiatif ini, meskipun jumlah yang diterima tidak terlalu besar.

“Bantuan ini banyak membantu saya membeli keperluan dapur seperti barang makanan asas lain. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan usaha kerajaan Madani yang sentiasa mengambil berat tentang rakyat,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN