PETALING JAYA: Peningkatan ketibaan pelancong asing ke negara ini membuktikan potensi besar sektor pelancongan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelancongan membantu menjadikan ekonomi Malaysia berada dalam kedudukan yang kukuh selepas pandemik Covid-19.
Katanya, jumlah kedatangan pelancong asing melebihi 20 juta orang pada sepuluh bulan pertama 2024 memberi impak langsung kepada sektor lain seperti penerbangan, pengangkutan darat, perhotelan, agensi pelancongan serta peruncitan.
“Persoalannya ialah bagaimana kerajaan dapat terus melaksanakan agenda reformasi yang mungkin tidak popular tetapi baik untuk rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang.
“Perkara ini sebenarnya menuntut strategi komunikasi jelas dan efektif supaya mampu menyuntik keyakinan bahawa ekonomi negara menuju status maju dan mencapai ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan kos sara hidup menjadi perhatian dan cabaran utama buat rakyat Malaysia menjelang tahun 2025 berikutan perubahan beberapa dasar yang dilakukan oleh kerajaan.
Mohd. Afzanizam berkata, Bank Dunia sebelum ini menganggarkan ekonomi Malaysia boleh mencapai negara berpendapatan tinggi pada tahun 2028.
“Namun ia memerlukan usaha daripada semua pihak dan bukan terletak semata-mata di bahu kerajaan. Maka, kerajaan perlu menumpukan aspek komunikasi supaya rakyat memahami dengan baik tujuan dasar ekonomi yang diperkenalkan,” ujarnya.
Penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob bersetuju industri pelancongan kini menjadi salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
Katanya, sektor itu ada potensi besar untuk terus berkembang pada tahun 2025 selain industri makanan dan minuman (F&B) serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berperanan penting dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi.
“Sektor yang dilihat kritikal tahun depan pula adalah sektor eksport yang dijangka terjejas akibat ketidaktentuan politik dunia semasa serta keadaan ekonomi dalaman di Jerman dan Perancis.
“Situasi ini memberi kesan kepada eksport negara yang bergantung kepada permintaan dari pada negara tersebut,” katanya. – UTUSAN










