Sekolah diingat jangan ‘potong’ BAP - Fadhlina

Sekolah diingat jangan ‘potong’ BAP – Fadhlina

Fadhlina Sidek ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak sekolah diberi peringatan untuk menyerahkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada setiap murid sepenuhnya tanpa melakukan sebarang ‘pemotongan’ tertentu.

Menteri Pendidikan, Fadhina Sidek menambah, Ibu bapa juga turut diingatkan untuk menggunakan wang bantuan kerajaan itu untuk tujuan persekolahan anak-anak mereka sahaja.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, wang berjumlah RM150 itu mesti digunakan sepenuhnya untuk kegunaan dan persiapan persekolahan murid-murid.

“Jangan dipotong-potong (seperti) yuran Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) dan sebagainya, itu tidak boleh. RM150 mesti diterima (oleh) ibu bapa (atau) penjaga sebagaimana yang kita umumkan.

“(Sekiranya) ada yang melanggar, kita minta aduan disampaikan kepada kita (Kementerian Pendidikan) untuk siasatan dan tindakan. RM150 itu adalah hak pada anak-anak untuk bantuan persekolahan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Tahun 2025 di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, di sini.

Yang hadir sama adalah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.

Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM791,250,000 khusus untuk bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara one-off (sekali bayar) yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid.

Pengagihan BAP itu akan dilakukan bermula hari ini pada murid Tahun 1 hing­ga Tingkatan 4 bagi sesi persekolahan 2024/2025, manakala murid Tingkatan 6 Semester 2 dan Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 pula akan dilaksanakan mulai 16 Februari.

Sementara itu, bagi murid Tingkatan 6 baharu pula penagihan BAP akan dilaksanakan mulai 1 Julai ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pemberian BAP kepada murid Tingkatan 6 merupakan tanda komitmen kerajaan dalam memastikan semua murid di negara ini mendapat manfaat yang sama.

“Insya-Allah, kita akan teruskan dari tahun ke tahun (kerana) melihat memang terdapat keperluan bagi anak-anak Tingkatan 6 mendapatkan BAP juga,” katanya.

Tambahnya, kerajaan akan meneliti keperluan untuk memperluaskan BAP kepada murid-murid di prasekolah.

“Kalau ada pertimbangan dan melihat kepada keperluan itu, kita tidak ada masalah untuk pertimbangkan tetapi untuk tahun ini, kita mulakan dengan (murid-murid) Tingkatan 6 dahulu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN