SEREMBAN: Kerajaan sedang membangunkan pelan berperingkat untuk meningkatkan perkhidmatan kereta api penumpang dengan sasaran 80 peratus penggunaan landasan kereta api di Semenanjung Malaysia menjelang 2030.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sasaran berkenaan penting bagi memastikan penggunaan landasan kereta api dapat digunakan secara optimum setelah berbilion ringgit dibelanja untuk menyediakan landasan berkembar.
“Kapasiti kita untuk tren penumpang boleh lagi tinggi, kita belanjakan berbilion ringgit untuk menyediakan landasan berkembar. Sekarang ini dalam lingkungan 30 peratus sahaja penggunaan landasan.
“Kita tidak cukup keretapi api umpamanya perkhidmatan tren elektrik (ETS). ETS permintaannya cukup tinggi, tetapi untuk ETS class 93 (generasi pertama) hanya ada 10 set.
“ETS generasi kedua ada sembilan set, keseluruhan kita ada 19 set untuk ETS sedangkan ETS tip-tiap hujung minggu memang penuh, permintaan cukup tinggi malah berbulan-bulan sebelum musim perayaan sudah pun penuh sebab kapasiti kita terhad, jadi, kini kita ada perancangan untuk menambah bilangan set kereta api,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tren Class 93 bagi Projek Penyenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) kepada Kementerian Pengangkutan di Depoh EMU KTMB Seremban, di sini, semalam, Anthony Loke berkata, M Rail Technics Sdn. Bhd (Railtec) telah menyerahkan salah sebuah train ETS yang sudah diselenggara pada tahap empat kepada kementeriannya.
“Ia diserahkan balik kepada Kementerian Pengangkutan supaya kita boleh beroperasi dan mendapat satu kereta api tambahan untuk beroperasi musim Tahun Baru Cina dan seterusnya.
“Jadi ini adalah proses yang berterusan kerana depoh utama ini ialah depoh untuk penyelenggaraan tahap empat. Kita ada kontrak dengan pihak syarikat Railtec di mana mereka telah pun diberikan kontrak untuk menyelenggara MRO tahap 4 untuk dua jenis set train, iaitu 35 set untuk KTM Komuter dan 10 set untuk ETS Class 93,” katanya.
Menurut beliau, setakat ni, enam set telah diselenggara dengan baik dan dikembalikan kepada MOT untuk dioperasikan semula oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan nilaian kontrak asal bagi 35 set komuter berjumlah RM531 juta manakala, 10 set ETS sebanyak RM163 juta tidak termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) .
Jelas Anthony Loke lagi, projek MRO perlu berjalan dengan baik kerana kemudahan kereta api yang lama perlu diselenggarakan bagi mengelakkan kemudahan tersebut rosak dan sering ‘breakdown’.
“Itu yang menjadi masalah kepada perkhidmatan komuter di Lembah Klang dan juga di utara. Sebab itu kita ada program ini kerana komponen-komponen kereta api ini perlu diselenggara mengikut tahap,” katanya. – UTUSAN










