BACHOK: Aktiviti memancing belut yang dilakukan penduduk Kampung Jelawat di sini bagi mengisi masa terluang mampu menjana pendapatan lumayan kepada mereka.
Seorang penduduk, Muhammad Luqmanul Hakim Azhar, 25, berkata, setiap hari dia akan memancing lima kilogram belut dengan menggunakan umpan cacing gelang atau perut ayam sehingga mampu memberinya pendapatan sehingga RM175.
“Hasil itu diperoleh dalam tempoh dua hingga tiga jam. Biasanya, aktiviti ini dilakukan pada sebelah petang. Sekilogram belut saya jual antara RM25 hingga RM35 mengikut saiz dan jenis,” ketika ketika ditemui Mingguan Malaysia, di sini, semalam.
Luqmanul Hakim berkata, kawasan bendang Kampung Jelawat kini bagaikan pesta apabila penduduk mengambil kesempatan memancing belut.
Seorang lagi pemancing, Muhamad Azren Che Azur, 26, berkata, dia seronok melakukan aktiviti itu dengan mencari lubang yang menjadi tempat tinggal belut dan memasukkan umpan dipasang pada mata kail.
“Tarikan belut sangat kuat, sebab itulah mata kail perlu diikat dengan baik.
“Jika dapat lebih satu kilogram baru saya jual. Jika kurang, saya sedekahkan kepada penduduk kampung,” katanya. – UTUSAN