Ketiadaan seorang lelaki bergelar suami di sisi sejak berpisah dengan Datuk Red pertengahan April lalu memberi satu lembaran baharu buat penyanyi, Adira Suhaimi.
Satu daripadanya adalah bagaimana dia perlu bijak mengendalikan urusan keluarga terutama anak-anak yang sedang membesar dan tentunya memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka.
Pun begitu, beruntungnya Adira kerana bekas suaminya itu bukanlah seorang lelaki durjana yang bersikap lepas tangan dalam meneruskan tanggungjawab sebagai bapa kepada empat orang anak mereka.
Cuma, tidak dinafikan, pada kebanyakan masa, naluri keibuannya tetap berperang dengan perasaan sendiri yang menginginkan lebih banyak masa untuk anak-anaknya.
Berbanding dahulu, Adira kini perlu lebih kuat bekerja memandangkan statusnya sebagai ibu tunggal, tidak memungkinkan dirinya untuk hanya duduk berdiam diri tanpa bergerak aktif mencari pendapatan sendiri.
Apalagi dalam mengenangkan anak-anak yang masih kecil. Peranan Adira cukup besar, namun dalam giat bekerja sebagai anak seni, dia sedar kesibukannya itu membuatkan dirinya kekurangan masa dengan anak-anak.
“Sebenarnya, saya ini kalau pergi mana-mana pun, anak-anak tetap mahukan saya sebagai pengasuh nombor satu mereka, ibu. Sebab itu kalau boleh memang nak berada di rumah sebab walau sibuk macam mana sekali pun saya tak mahu terlepas pandang anak-anak.
“Saya nak keberadaan saya itu sentiasa ada, sentiasa menjaga mereka walaupun sudah mempunyai pengasuh atau pembantu di rumah.
“Saya ini seorang ibu, tipulah kalau kata tak rasa bersalah jika tak dapat bersama anak-anak. Walaupun kita tahu yang kita di luar itu sedang mencari rezeki untuk dibawa pulang buat keluarga dan anak-anak pun tak pernah luah apa-apa, saya tetap rasa bersalah,”katanya.
Kongsi penyanyi berusia 32 tahun ini, disebabkan itu, setiap kali ada ruang waktu yang sesuai dia akan mencuba menghabiskan masa dengan empat orang anaknya itu di rumah.
“Memanglah kadangkala kita tak sempat tetapi kita nak cuba juga ambil waktu. Walaupun saya balik kerja sekitar 1 atau 2 pagi, saya akan balik terus cari anak.
“Pada masa yang sama, saya ini sedang melatih anak-anak untuk tidur berasingan sebulan lalu. Sebelum ini, tujuh tahun saya biarkan mereka tidur bersama saya namun sekarang sudah tiba masa untuk mereka tidur di bilik masing-masing,”katanya.
Tambah Adira, keadaan itu juga membuatkan dirinya harus lebih kuat kerana sudah terbiasa tidur sekamar dengan anak-anak sebelum ini.
“Baik anak atau saya, kami ini sama-sama masih mencuba untuk membiasakan diri. Saya kena kuatkan hati juga sebab ini untuk mengajar mereka. Tetapi tak dinafikan, saya rindu anak-anak pada saban waktu, rasa nak tengok dan jaga mereka depan mata tapi kita pula bekerja.
“Mujurlah juga sekarang ini keluarga tinggal bersama dengan saya. Jadi selain pengasuh dan pembantu. Abang-abang dan kakak ipar tolong saya juga menjaga anak-anak di rumah, syukur sangat,”ujarnya.
HIKMAH SAKIT
Bagaimanapun, gara-gara jatuh sakit baru-baru ini sehingga terpaksa dimasukkan ke wad di sebuah hospital, membuka matanya untuk lebih cakna dalam bab kesihatan diri.
Antara punca yang telah dikenalpasti adalah kealpaan Adira dalam memberi ruang rehat untuk diri sendiri lantaran terlalu kuat bekerja.
Terus-terang, kata Adira, kata-kata doktor tersebut telah membuatkan dirinya tersentak dan larut dalam keinsafan.
“Selepas saya sakit baru-baru ini, saya insaf juga. Terutama apabila doktor kata punca sakit itu kerana saya alami tekanan darah rendah dan terlalu berlebihan kerja.
“Selama saya sibuk mencari rezeki itu saya sehingga terlupa untuk menjaga kesihatan diri. Lumrah manusia, kita rasa diri masih kuat dan okey sahaja, tetapi rupa-rupanya tubuh badan sudah lama beri isyarat untuk rehat,” katanya.