PARIT: Mahu majlis lebih meriah dan menjimatkan mendorong tiga beradik lelaki melangsungkan majlis perkahwinan mereka serentak di Dewan Teluk Sena, Lambor Kiri di sini.
Tiga beradik itu ialah Muhammad Yusuf Reduwan, 26, dan pasangannya, Noor Laila Sarah Abdullah, 22; Muhammad Iskandar Zulqarnain Reduwan, 25, dengan pasangannya, Nurul Izzati Ibrahim, 22 dan Muhammad Amirul Syafie Reduwan, 23, bersama pasangannya, Nur Azrien Azamai, 23.
Ibu bapa kepada tiga pengantin lelaki, Reduwan Mat Pie, 50, dan Masyitah Jamaludin, 49, berkata, mereka membuat keputusan mengadakan majlis meraikan tiga anak lelaki mereka dengan pasangan masing-masing, semuanya dari Kelantan secara serentak supaya lebih meriah dan jimat.
Menurut mereka, ia juga dapat meringankan kos bagi keluarga pengantin perempuan yang datang dari jauh iaitu Kelantan.
“Saya anggarkan 3,000 orang tetamu hadir. Majlis bertambah meriah dengan marhaban, persembahan rebana, silat, perarakan pengantin, makan beradab dan tayangan wayang pacak.
“Majlis perkahwinan meriah kerana kenduri diadakan secara gotong-royong, adik beradik, saudara mara dan jiran-jiran dan penduduk sekitar datang membantu,” kata Reduwan di sini semalam.
Muhammad Yusuf memberitahu, dia dan adiknya merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan serentak sejak setahun lalu dan bersyukur apabila ia berlangsung dengan lancar.
Menurutnya, menerusi perkahwinan serentak, mereka dapat menjimatkan kos belanja kenduri kahwin keseluruhan majlis seperti tempahan pelamin, video, dan upah jurugambar.
“Bukan mudah untuk melaksanakannya kerana memerlukan kesepakatan dan semangat perpaduan daripada beberapa keluarga kami.
“Sekurang-kurangnya sekitar RM50,000 dapat dijimatkan apabila majlis ini diadakan sekali serentak dan penat pun hanya sekali,” katanya. – UTUSAN