TELUK INTAN: Peniaga santan segar di sini terjejas berikutan kekurangan bekalan kelapa terutama dari kawasan Bagan Datuk.
Peniaga santan yang ditemui memaklumkan, situasi itu menyebabkan mereka terpaksa menutup perniagaan sementara sekali gus menjejaskan pelanggan terutama pengusaha makanan serta penyedia perkhidmatan katering.
Pengusaha santan di Kampung Bahagia di sini, Noraini Saat, 67, berkata, kekurangan kelapa tua mula dialami sejak beberapa hari lalu menyebabkan perniagaannya tidak dapat beroperasi kerana bekalan tidak mencukupi.
“Keadaan sama bukan pertama kali berlaku. Pada tahun lalu pernah saya terpaksa menutup perniagaan sehingga tiga hari. Pembekal tidak dapat menyediakan bekalan kelapa mencukupi terutama dari Bagan Datuk.
“Kekurangan bekalan kelapa juga berlaku di kawasan tanaman kelapa yang lain seperti di Langkap, Jalan Changkat Jong, Sungai Manik. Mereka juga tidak ada stok mencukupi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, dia memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 biji kelapa setiap tiga hari untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Kekurangan santan ketika ini menjejaskan pelanggan saya terutama pengusaha makanan dan penyedia perkhidmatan katering kerana mereka perlu menyediakan makanan dalam kuantiti yang banyak.
“Tambahan pula ketika ini cuti sekolah, ramai yang mengadakan majlis perkahwinan dan majlis berkhatan. Ramai pelanggan yang kecewa kerana susah nak dapatkan santan,” katanya. – UTUSAN