Peniaga makanan, pasar malam berdepan risiko gulung tikar

Peniaga makanan, pasar malam di Cameron Highlands berdepan risiko gulung tikar

SYED Aznil Syed Akmal termenung di hadapan premis Paknil’s BBQ and Grill di Brinchang dekat Cameron Highlands, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Majoriti pemilik premis makanan dan pasar malam di kawasan pelancongan di sini berdepan risiko gulung tikar akibat kekurangan pelanggan yang didakwa berlarutan sejak September lalu.

Pemilik Paknil’s BBQ and Grill, Syed Aznil Syed Akmal berkata, kejadian tanah runtuh dan banjir kilat yang berlaku baru-baru ini memberi kesan besar kepada bisnes yang diusahakannya sejak lapan tahun lalu dan menyebabkan pelanggan berkurangan sehingga 80 peratus.

“Bila berlaku tanah runtuh dan banjir kilat, ia viral dalam media sosial tentang penutupan jalan khususnya dari arah Lojing, Gua Musang dan Simpang Pulai, Perak. Jadi pengunjung berasa was-was untuk datang bercuti ke sini.

“Tetapi apabila laluan kembali pulih, tidak ada pihak atau agensi yang boleh memberi sebaran luas secara efektif bagi memaklumkan laluan untuk ke Cameron Highlands kembali selamat untuk dikunjungi.

“Ini menjadi antara punca mengapa kebelakangan ini Cameron Highlands kurang menerima kehadiran pelancong, malah kawasan tumpuan se­perti pekan Brinchang, Kea Farm dan Pasar Malam Golden Hills dilihat suram,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kedatangan pelancong ke kawasan tanah tinggi Ca­meron Highlands berkurangan pada musim cuti sekolah yang bermula Sabtu lalu.

Bagi pemilik kedai makan yang hanya mahu dikenali sebagai Sa, dia sudah menutup perniagaan sejak tiga bulan lepas kerana tidak ada pelanggan serta mengalami banyak kerugian.

“Saya sudah berniaga kedai makan sejak 15 tahun yang lalu tapi kali ini paling teruk terjejas sebab tidak ada pelanggan. Ba­yangkan sehari saya hanya dapat RM300 sedangkan banyak kos yang perlu ditanggung.

“Saya bukan sahaja perlu tanggung harga bahan mentah yang semakin meningkat naik tetapi ewa kedai dan gaji pekerja. Jadi ia terlalu membebankan saya selaku peniaga, daripada terus rugi lebih baik tutup operasi sahaja,” katanya.

Pengusaha kedai cenderamata di Kea Farm, Mohamad Shah, 49, berkata, Cameron Highlands selamat dikunjungi termasuk bagi melakukan aktiviti riadah bersama keluarga terutama pada musim cuti sekolah sekarang dan cuti Tahun Baru Cina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN