Nilai aset Mokhzani, Mirzan cecah RM1.2 bilion - Azam Baki

Nilai aset Mokhzani, Mirzan cecah RM1.2 bilion – Azam Baki

Mokhzani Mahathir (kiri) dan Mirzan Mahathir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu Tan Sri Mokhzani dan Mirzan memiliki aset dan harta bernilai lebih RM1.2 bilion.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam sidang akhbar khas di sini, semalam.

Azam berkata, jumlah aset itu diperoleh selepas kedua-dua mereka mengisytiharkan harta masing-masing kepada pihaknya baru-baru ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan aset dimiliki Mokhzani adalah sekitar RM1 bilion termasuk aset peribadi bernilai RM360 juta, pegangan saham dan liabiliti yang ditanggung.

“Mirzan pula melibatkan aset keseluruhan berjumlah RM246.2 juta termasuk saham, aset lain dan liabiliti.

“Mirzan dan Mokhzani telah pun memenuhi permintaan SPR untuk mengisytiharkan semua aset termasuk saham dan sebagainya. Saya berpuas hati dengan keputusan mereka itu dan siasatan masih diteruskan,” ujarnya.

Sebelum ini, Mokhzani dan Mirzan telah dipanggil SPRM bagi membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM juga dilaporkan telah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti berkaitan yang dinamakan dalam laporan Kertas Pandora, juga Kertas Panama.

Sebelum ini juga, Mirzan dan Mokhzani telah diserahkan notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 yang menghendaki mereka mengisytiharkan semua aset milik mereka.

Pada masa sama, kedua-dua mereka turut mengeluarkan kenyataan media bagi memohon semua pihak bersabar dan memahami situasi mereka bagi mengumpulkan maklumat berkenaan aset yang dimiliki selama 43 tahun.

Sementara itu Azam berkata, SPRM telah mendapat keizinan untuk mendakwa bekas ketua pegawai operasi dan pengurus projek syarikat yang terlibat dalam rasuah projek lebuh raya di Lembah Klang masing-masing pada 27 Januari ini dan esok.

“Dua projek lebuh raya itu termasuk Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pakej CA3 bernilai RM1.05 bilion dan Projek Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam (DASH) bernilai RM4.8 bilion.

“Bekas ketua pegawai operasi itu akan didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 manakala, pengurus projek syarikat pula bakal berdepan tiga pertuduhan mengikut akta sama,” katanya.

Sekitar Ogos lalu, SPRM telah membuka kertas siasatan terhadap pengurusan tertinggi sebuah syarikat konsesi lebuh raya kerana disyaki meminta dan menerima rasuah pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN