Malaysia-Singapura perkukuh kerjasama

Malaysia-Singapura perkukuh kerjasama

ANWAR Ibrahim bersama Lawrence Wong pada sidang akhbar di Kompleks Perdana Putra selepas Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Si­ngapura terus memperkukuhkan hubungan erat kedua-dua negara termasuk mewujudkan Zon Ekonomi Khas di Johor dan sedia meneruskan projek kereta api berkelajuan tinggi.

Persetujuan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri An­war Ibrahim dan rakan seja­watnya, Lawrence Wong selepas Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11, di sini semalam.

Kedua-dua pemimpin itu juga menyaksikan enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat yang me­rangkumi pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar dan usaha me­merangi jenayah rentas sempadan.

Anwar berkata, pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singa­pura dibuka semula namun ia memerlukan pembabi­tan penuh sektor swasta.
Beliau juga menyifatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai satu projek kerjasama ekonomi antara dua buah negara yang unik.

Katanya, inisiatif dan kerjasama dua buah negara itu jarang ditemui di mana-mana tempat dan bahagian di dunia.

“Ini adalah inisiatif yang unik dan sangat jarang kita lihat dua negara dapat bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Anda boleh perhatikan mana-mana bahagian di dunia di mana dua negara memutuskan untuk bekerjasama, mempromosikan kedua-dua negara, menarik pelaburan dan membina hubungan yang kukuh,” katanya dalam sidang akhbar bersama selepas pemukiman itu.

Sementara itu, Wong berkata, beliau melihat potensi JS-SEZ bukan setakat hanya memanfaatkan Johor dan Singapura sahaja sebaliknya kedua-dua negara boleh bekerjasama dalam menarik projek pelaburan baru global ke zon berkenaan.

Menurutnya, jika perkara ini dapat dilaksanakan, kedua-dua negara dapat memasarkan zon ekonomi khas itu ke peringkat global sekali gus menarik pelaburan asing.

“Zon ekonomi khas itu diharap dapat memperkukuh potensi, memperluaskan peluang dan mewujudkan pekerjaan yang baik untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama, kedua-dua negara saling bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) perjanjian bersama JS-SEZ di mana Malaysia diwakili Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli manakala Singapura diwakili Timbalan Perdana Menterinya, Gan Kim Yong.

Mengenai pelaksanaan semula projek HSR, Anwar berkata, kerajaan ketika ini masih menunggu tawaran positif daripada sektor swasta bagi meneruskan projek itu apabila diperlukan kelak.

“Pendirian kerajaan jelas iaitu menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam projek itu kerana kerajaan mempunyai batasannya (dari aspek kewangan),” ujarnya.

Selain itu, Anwar berkata, Malaysia dan Singapura juga bersetuju membuka semula ruang perbincangan bagi menyelesaikan pelbagai isu-isu lama dan tertangguh yang wujud antara kedua-dua negara.

Katanya, isu-isu berkenaan antara lain termasuk isu bekalan air, persempadanan maritim, dan ruang udara.

Beliau berkata, dengan pembukaan semula perbincangan itu, pasukan teknikal kedua-dua negara akan membincangkan parameter-parameter berkaitan.

“Ini adalah isu yang kompleks. Seperti disebut Lawrence (Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong), isu itu perlu ditangani secara holistik atau menyeluruh.

“Perbincangan itu penting supaya beberapa perkara yang diminta Singapura dan Malaysia dapat diberi pertimbangan penuh,” katanya.

Katanya, penyelesaian akhir hasil perbincangan itu haruslah dalam bentuk situasi menang-menang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN