KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendesak Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) mengambil tindakan di bawah peruntukan jenayah terhadap sebuah syarikat broker yang disyaki menawarkan skim pelaburan mata wang asing (Forex) tidak sah sehingga kerugian mencecah RM104 juta.
Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada seramai 388 mangsa dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei yang mendakwa mengalami kerugian akibat tidak mendapat pulangan wang dilaburkan sejak 2022.
Katanya, skim tersebut mengaburi mangsa dengan berdaftar dengan sebuah syarikat di bawah Labuan FSA serta mendapatkan lesen sebagai broker bagi menguruskan transaksi kewangan antara pelabur dan syarikat.
“Perdagangan Forex di negara ini tidak dibenarkan membuat tawaran kepada orang awam kerana ia hanya boleh dijalankan oleh syarikat-syarikat yang dilesenkan oleh Bank Negara.
“Syarikat ini telah menggunakan lesen broker bagi meyakinkan pelabur bahawa pelaburan tidak sah yang ditawarkan telah dikawal selia oleh Labuan FSA.
“Walaupun Labuan FSA telah membubarkan syarikat tersebut, namun kita mendesak ia diambil tindakan di bawah peruntukan jenayah termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya dalam sidang akhbar di perkarangan Pejabat Labuan FSA di KL Sentral, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang mangsa dikenali sebagai Tan, 33, berkata, dia telah melabur dalam syarikat terbabit setelah diajak rakannya pada 2016.
Dia turut mempersoalkan bagaimana syarikat itu mudah mendapatkan lesen untuk memperdaya pelabur sehingga mengalami kerugian jutaan ringgit.
“Sepanjang tempoh saya melabur, saya ada menerima sedikit pulangan dan turut menarik pelabur-pelabur lain untuk sertai skim tersebut.
“Bagaimanapun, syarikat itu gagal memberikan pulangan sejak 2023 dan memberikan alasan berpunca daripada masalah perbankan.
Seorang lagi pelabur, Datuk Danny Goh, 57, berkata, dia yang kerugian sehingga RM10 juta sejak terjebak dalam pelaburan itu pada 2018 berharap tindakan tegas dapat diambil terhadap syarikat terbabit.
“Perkara sudah berlaku.. apa yang saya harap tindakan tegas diambil terhadap ‘scammer’ agar ia tidak berulang.
“Yang penting saya berharap semua masyarakat sedar tentang perkara (penipuan) ini,” katanya.
Oktober lalu, media melaporkan seramai 70 individu mendakwa menjadi mangsa pelaburan Forex dengan sebuah syarikat dipercayai berpangkalan di Labuan membabitkan kerugian kira-kira RM40 juta.
Hishamuddin dilapor berkata, kesemua mangsa berkenaan dari tiga negara iaitu Indonesia, Singapura dan Brunei.- UTUSAN