Kemiskinan meningkat jika wanita tidak bekerja

Kemiskinan meningkat jika wanita tidak bekerja

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan jum­lah wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa dikhuatiri menjadi punca kadar kemiskinan isi rumah semakin meningkat di Malaysia.

Apabila wanita terutama yang memiliki kelayakan akademik memilih menjadi suri rumah sepenuh masa ia akan menyebabkan pendapatan isi rumah berkurangan dan boleh menjerumuskan keluarga mereka di kancah kemiskinan.

Presiden Kongres ­Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, ketidakseimbangan ekonomi akan wujud apabila wanita tidak bekerja dan pendapatan isi rumah hanya bergantung kepada lelaki.

Katanya, ini sekali gus me­ningkatkan jurang kemiskinan dan menjejaskan kesejahteraan keluarga terutamanya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah serta tinggal di kawasan bandar.

“Beban ekonomi ini turut menyumbang kepada masalah demografi seperti penurunan kadar kelahiran dan perkahwinan yang mempercepatkan penuaan penduduk serta me­ngurangkan tenaga kerja masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa kehilangan penyer­taan wanita berkemahiran tinggi dalam sektor penting seperti pendidikan, perubatan dan perkhid­matan akan menurunkan pro­duktiviti dan daya saing.

Semalam akhbar ini me­laporkan, ramai wanita berhenti kerja dan memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.

Mengikut data Jabatan Pe­rangkaan, sekitar tiga juta wani­ta daripada 4.8 juta wa­nita yang berhenti kerja me­nyatakan tuntutan sebagai suri rumah sebagai alasan.

Faktor lain yang mendorong kaum wanita yang membentuk 6.72 juta tenaga buruh negara berhenti kerja pada usia antara 25 dan 64 tahun ialah faktor pendidikan iaitu sebanyak 1.51 juta dan selebihnya atas sebab lain.

Katanya, keadaan itu menye­babkan kadar penyer­taan wanita dalam sektor pekerjaan negara masih ke­tinggalan walaupun kadar graduan golongan itu ke universiti melebihi lelaki setiap tahun.

Tambah Mohd. Effendy, wa­nita sememangnya sering berdepan diskriminasi di tempat kerja termasuk cabaran untuk mendapatkan kenaikan pangkat berbanding lelaki.

“Stereotaip gender yang masih wujud menganggap lelaki lebih sesuai untuk peranan kepimpinan, manakala wanita sering dilihat kurang kompeten walaupun memiliki kelayakan dan pengalaman yang setara.

“Ketiadaan wanita berpendidikan tinggi dalam pasaran kerja mengakibatkan kehila­ngan kepakaran serta kebergantungan kepada pekerja asing­ meningkat.

“Selain itu, ketiadaan simpanan hari tua seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau pencen meningkatkan risiko kemiskinan pada usia emas dan membebankan keluarga,” katanya.

Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman pula berkata, bahawa monopoli lelaki dalam sektor pekerjaan lebih banyak membawa kerugian berban­ding manfaat.

Menurut beliau, penyertaan seimbang lelaki dan wanita adalah asas kepada ekonomi inklusif dan mampan.

“Jika lelaki memonopoli sektor pekerjaan di Malaysia, ia akan mempunyai kesan besar terhadap sosial, ekonomi, dan pembangunan negara.

“Ketiadaan wanita dalam sektor pekerjaan akan mengehadkan kepelbagaian idea, inovasi dan kreativiti yang diperlukan untuk mencari solusi secara holistik dalam orga­nisasi dan industri.

“Dalam jangka panjang, kekurangan penyertaan wanita boleh menyebabkan Malaysia kehilangan hampir separuh potensi tenaga kerja produktif yang mengakibatkan ekonomi negara akan rugi terutama dalam sektor yang banyak menerima manfaat daripada penyertaan wanita,” katanya.

Tambah Dr. Syed Hussain, wanita yang telah lama me­ninggalkan pekerjaan akan menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, aliran kerja dan keperluan pasaran kerja terkini.

“Kekurangan pengalaman terkini menyebabkan majikan meragui keupayaan mereka untuk segera menyesuaikan diri dalam peranan baharu.

“Ini akan memperkukuhkan lagi stereotaip negatif bahawa wanita kurang layak sekaligus melemahkan usaha ke arah kesaksamaan gender.

“Majikan melihat ini sebagai cabaran dalam memastikan produktiviti dan komitmen jangka Panjang dikalangan Wanita sedemikian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×