PETALING JAYA: “Kami tidak akan pulang selagi gencatan senjata ini hanya bersifat sementara.”
Demikian luahan seorang rakyat Malaysia yang pernah terkandas di Palestin, Nurul Ain Haron yang berkongsi beliau tidak akan pulang selagi keadaan di Gaza masih belum stabil meskipun gencatan senjata sudah diumumkan.
Katanya, gencatan senjata yang dilaksanakan ketika ini hanyalah sebahagian daripada fasa pertama perjanjian yang berlangsung selama 42 hari kerana bimbang situasi mungkin berubah selepas perjanjian memasuki fasa seterusnya.
“Ketika ini, kita berada di fasa pertama gencatan senjata yang hanya berlangsung selama 42 hari. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku selepas ini.
“Semoga semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan hingga ke fasa ketiga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Gencatan senjata di Gaza antara Israel dan hamas bermula 11.15 pagi waktu tempatan pada Ahad lalu.
Nurul Ain turut meluahkan rasa terkejut dengan serangan yang masih berterusan di Tebing Barat, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada perjanjian tersebut hanya terjadi pada wilayah Gaza.
“Kami juga agak terkejut dengan serangan yang masih berterusan di Tebing Barat. Kami tidak pasti, tetapi besar kemungkinan perjanjian yang dimeterai ini hanya terhad kepada Gaza,” jelasnya.
Sementara itu katanya, keluarga mentua di Gaza telah kembali ke rumah masing-masing walaupun sebahagiannya mengalami kerosakan.
Nurul Ain berkata, walaupun perjanjian gencatan senjata itu dipantau oleh beberapa negara, masih ada kebimbangan terhadap kemungkinan perjanjian dilanggar tersebut akan dimungkiri seperti sebelum ini.
“Seperti yang kita semua sedia maklum, Israel sering melanggar perjanjian. Saya berharap tiada pelanggaran perjanjian yang berlaku kerana ia hanya akan memburukkan keadaan,” katanya. – UTUSAN










