KANGAR: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin melihat DAP ketika ini berada dalam ketakutan sekiranya kerjasama atau hubungan antara Pas dan UMNO kembali terjalin.
Hashim berkata, DAP akan menentang habis-habisan kerjasama tersebut termasuk apabila Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng membantah UMNO menyertai perhimpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ anjuran Pas pada 6 Januari depan.
Katanya, DAP sedar kerjasama antara Pas dan UMNO bakal mengundang bahaya kepada perkembangan dan usaha mereka selama ini.
“Majoriti ahli UMNO sedar mengenai bahaya DAP ini, tapi pimpinan mereka terus juga bersama DAP. Pas sejak daripada awal boleh baca hala tuju dibawa DAP dan disebabkan itu kita ambil keputusan putus hubungan.
“UMNO lambat sedar tapi saya percaya akar umbi UMNO faham mengenai kepentingan kembali bersama demi kepentingan ummah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, kerjasama terbaharu antara UMNO dan Pas melalui himpunan solidariti untuk Najib Razak Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 6 Januari ini dikhuatiri menggugat keutuhan kerajaan perpaduan.
Guan Eng dilaporkan berkata, tindakan UMNO yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Perpaduan itu boleh menimbulkan keraguan terhadap kesetiaan parti tersebut kepada kerjasama yang sedia terjalin.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh dalam respon balas terhadap kenyataan Guan Eng itu berkata, perhimpunan solidariti Najib tidak ada kena mengena dengan kerajaan perpaduan, sebaliknya ia dilakukan sebagai tanda sokongan terhadap bekas pemimpin nombor satu parti tersebut.
“Ini bukan perhimpunan seperti perhimpunan Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) yang kamu buat dahulu, sampai huru-hara, sampai terbalik kereta. Saya nak bagi tahu juga kepada Lim Guan Eng, kamu siapa nak bidas, (dan) arahkan UMNO? Lagi kuat kamu bidas UMNO, saya janji lagi ramai orang akan turun berhimpun pada 6 Januari ini,” katanya menerusi klip video dalam media sosialnya, kelmarin.
Bagi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula mengingatkan Guan Eng supaya tidak menyinggung UMNO yang bersama dalam membentuk kerajaan Perpaduan.
Kata Ahmad Zahid, zaman pemimpin DAP itu sudah berlalu dan seharusnya Ahli Parlimen Bagan terbabit memberi kepercayaan kepada pimpinan baharu parti berkenaan.
Hashim seterusnya berkata, beliau yakin himpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak’ yang dianjurkan Pas akan mendapat sokongan penuh akar umbi UMNO khususnya..
“Saya yakin, ini adalah ketentuan Allah SWT yang mempermudahkan untuk kita hidupkan kembali konsep perpaduan ummah yang agak tenggelam sebelum ini,” katanya. – UTUSAN










