Cameron Highlands masih meriah tetap jadi pilihan pelancong

Cameron Highlands masih meriah tetap jadi pilihan pelancong

KEADAAN di Agro Bazar, Cameron Highlands yang kembali dikunjungi pelancong. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Selepas agak lengang pada minggu pertama cuti persekolahan minggu lalu, kedatangan pelancong ke Cameron Highlands mulai meningkat.

Tinjauan di tanah tinggi itu kelmarin mendapati, jumlah kenderaan semakin bertambah sehingga berlaku sedikit kesesakan trafik, namun hanya di lokasi tumpuan pelancong utama di sini iaitu di kawasan Pasar Kea Farm.

Pengguna jalan di kedua-dua arah dari Kuala Terla menghala ke Brinchang terpaksa memperlahankan kenderaan mereka ketika melalui Kea Farm bagi memberi laluan kepada kenderaan yang mahu memasuki parkir pasar.

Situasi bertambah sesak apabila bas pelancong diparkir di tepi jalan menyukarkan pegguna jalan lain melalui jalan di situ.

Bagaimanapun, keadaan trafik sebelum dan selepas Pasar Kea Farm adalah lancar.

Tinjauan juga mendapati berlaku pertambahan jumlah kenderaan di pekan Brinchang hingga ke Tanah Rata, namun tidak berlaku kesesakan trafik yang teruk seperti kebiasaan musim cuti sebelum ini.

Jumlah pengunjung di Agro Bazar juga meningkat, namun peniaga berkata jualan masih agak perlahan jika hendak dibandingkan semasa musim cuti sebelum ini.

“Bagaimanapun, kami gembira kerana jumlah pelancong semakin meningkat sejak beberapa hari lalu dan berharap lebih ramai pengunjung datang ke sini,” kata seorang peniaga lagi.

Sementara itu, kesan kekurangan pelancong masih dirasai oleh peniaga di Tanah Rata terutama peniaga pasar malam berdekatan sebuah kompleks beli-belah di pekan itu.

Menurut seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, pasar malam itu dibuka mulai pukul 12 tengah hari, namun setakat pukul 3 petang, belum ada jualan sayur dan buah strawberry yang dijual.

“Hari ini Ahad sepatutnya ramai pengunjung, namun hari ini tak begitu ramai. Hujan juga mungkin mengehadkan pergerakan pengunjung untuk singgah di pasar malam ini.

“Biasanya pada lewat petang hingga malam baru ramai pengunjung. Kami berharap lebih ramai pelancong datang ke Cameron Highlands,” katanya.

Dalam pada itu, pengusaha hotel di sini memberitahu, kadar penginapan hotel semakin meningkat sejak kebelakangan ini terutama menjelang sambutan Tahun Baharu Cina beberapa hari lagi.

Seorang jurucakap sebuah hotel yang enggan dikenali berkata, ini menunjukkan pelancong sudah mula kembali ke tanah tinggi itu.

“Biasanya kalau cuti panjang, jumlah pelancong tidak terlalu ramai kerana pelancong mempunyai masa yang panjang untuk bercuti, maksudnya pelancong tidak datang serentak.

“Kalau cuti pendek pula, memang ramai pelancong kerana mereka datang secara serentak.

“Saya percaya musim cuti sekolah yang masih panjang menyebabkan pelancong tidak nampak ramai ketika ini, namun jumlahnya semakin meningkat sejak beberapa hari lalu malah berlaku kesesakan disebabkan pertambahan kenderaan yang naik ke tanah tinggi ini,” katanya.

Menurutnya, industri perhotelan di sini pernah mengalami kekurangan pelancong semasa kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley menuju ke Cameron Highlands di sini yang menyebabkan laluan itu ditutup lebih sebulan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN