‘Bukan tidak mahu ambil warga tempatan, mereka pilih kerja’

‘Bukan tidak mahu ambil warga tempatan, mereka pilih kerja’

RESTORAN mamak memerlukan ramai pekerja tempatan tetapi tidak mendapat sambutan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengusaha restoran terus berdepan masalah mendapatkan pekerja tempatan sehingga mereka terpaksa bergantung kepada warga asing.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, warga tempatan lebih berminat bekerja dalam sektor lain berbanding di restoran atau kedai makan.

Katanya, Presma sebelum ini telah mengambil inisiatif menawarkan tawaran pekerjaan kepada pekerja tempatan, namun tidak mendapat sambutan memberangsangkan.

“Kita tidak ada isu kekurangan pekerja tempatan tetapi sejauh mana mereka bersedia untuk bekerja di sektor ini dengan baik, menyesuaikan diri dengan persekitaran, serta memastikan kualiti makanan dan minuman yang disediakan menjadi persoalan utama.

“Kami juga pernah menganjurkan sesi temuduga terbuka, namun sambutan yang diterima amat rendah. Sebagai contoh, dalam satu temuduga terbuka di Nilai, Negeri Sembilan beberapa tahun lalu, dan kami telah menyewa lima bas yang disediakan untuk membawa calon tetapi hanya lima orang yang hadir.

“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) jika mereka boleh membantu pemilik restoran mendapatkan pekerja tempatan yang berkemahiran dan berminat dalam bidang ini,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Presiden MTUC, Mohd. Effendy Abdul Ghani sebelum ini berkata, permohonan mendapatkan 25,000 pekerja asing untuk sektor restoran atau perniagaan wajar dipertimbangkan secara menyeluruh dengan memastikan ia dibuka kepada warga tempatan terlebih dahulu.

Ia susulan permintaan Presma kepada kerajaan agar tenaga kerja tambahan termasuk pekerja asing dapat diluluskan bagi memastikan kelangsungan operasinya untuk jangka panjang.

Jawahar Ali berkata, Presma telah mengambil beberapa inisiatif seperti mengiklankan jawatan kosong melalui Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia tetapi tidak mendapat reaksi yang memberangsangkan.

“Seperti saranan kerajaan berhubung isu kadar upah minimum RM1,700, Presma bukan sahaja memastikan pematuhan terhadap garis panduan tersebut, malah turut menyediakan makanan percuma untuk pekerja.

“Selain itu, ahli-ahli Presma juga menyediakan kemudahan tambahan seperti asrama yang selesa kepada pekerja di bawahnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN